Titip doa untuk Zulfarhan

Gambar bersama arwah Zulfarhan menjadi kenangan buat keluarga Zulkarnain.
Gambar bersama arwah Zulfarhan menjadi kenangan buat keluarga Zulkarnain.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ramadan yang sepatutnya menjadi detik indah kepada ibu bapa menanti kepulangan anak sempena lebaran bertukar duka apabila hasrat itu tidak kesampaian selepas anak yang dikasihi terlebih dulu pergi meninggal mereka.

Begitu juga kerinduan ditanggung ibu bapa dan keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang bukan satu perkara mudah untuk digambarkan dengan kata-kata apatah lagi kematian bekas Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) adalah peristiwa tragis yang pernah menggemparkan negara pada tahun 2017.

Setiap Jumaat atau sekurang-kurangnya dua minggu sekali, Zulkarnain Idros, 56, akan bersiap lebih awal sebelum mengunjungi pusara anak sulungnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kurnia, Johor Bahru.

Jika tidak bersama isteri, Hawa Osman, 57, Zulkarnain akan menapak sendirian ke tanah perkuburan yang terletak berdekatan rumahnya.

Gambar Allahyarham Zulfarhan mengenakan seragam tentera menjadi salah satu kenangan buat keluarganya.
Gambar Allahyarham Zulfarhan mengenakan seragam tentera menjadi salah satu kenangan buat keluarganya.

Seakan menjadi terapi kepada kerinduan terhadap anak lelakinya itu, Zulkarnain menjadikannya sebagai rutin mingguan sejak tiga tahun lalu.

Mengenangkan pusara Zulfarhan bersebelahan datuk dan mak ciknya, Zulkarnain tidak pernah lupa untuk membersihkan semak.

“Tiada apa lagi yang boleh saya lakukan demi mengubati kerinduan saya terhadapnya, ini sahaja yang mampu saya lakukan.

Artikel Berkaitan:

“Selain menitip doa, saya sentiasa mengingati anak saya itu dalam setiap kenangan yang kami tempuhi,” katanya.

Zulkarnain berkata, sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu menyebabkan rutin mingguan keluarga ke kubur turut berubah.

“Perasaan saya seolah-olah memberontak, pujuk saya supaya keluar ke kubur, sekejap pun jadilah.

“Sekurang-kurangnya saya dapat ‘mengintai’ pusara Zulfarhan dari jauh, tetapi saya pujuk hati dengan perbanyakkan doa agar terus kuat menahan perasaan ini,” katanya.

Jika sebelum PKP dilaksanakan, Zulkarnain berkata, membersihkan kubur ahli keluarga sudah menjadi rutin minggu mereka sekeluarga.

"Menjalani normal baharu pada mulanya agak janggal lebih-lebih lagi ketika menjelang Ramadan," katanya.

Ala kadar

Zulkarnain berkata, tragedi yang meragut nyawa anak sulungnya itu menyebabkan sambutan Aidilfitri tidak lagi semeriah dahulu.

“Kalau berkait dengan baju raya, arwah paling cerewet jadi kami biarkan dia pilih warna baju setiap tahun.

“Namun selepas kehilangannya, kami tidak lagi beli baju baharu, cukup sekadar rai Syawal secara ala kadar,” katanya.

Baju raya bewarna biru menjadi tema sambutan lebaran pada 2015 lalu.
Baju raya bewarna biru menjadi tema sambutan lebaran pada 2015 lalu.

Tahun ini katanya, mereka mungkin akan menggunakan baju raya yang dibeli pada 2017 iaitu baju yang sama dibeli sebelum Allahyarham meninggal dunia.

"Kami reda dengan kejadian itu namun sehingga kini kesedihan di atas kehilangan Allahyarham sangat sukar dilupakan.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang sangat memahami," katanya.

Walaupun ketika ketiadaan Allahyarham, tiga anaknya iaitu Zulhelmie Idros, 22, Zulfaiqah Liana, 20 dan Zulhelyna Fatimah, 18, sentiasa membantu ibunya mengemas rumah.

Aktiviti lain seperti memasak juadah sempena Syawal tetap diteruskan namun dalam kuantiti yang sederhana.

Sebelum ini katanya, Allahyarham paling sibuk membuat persiapan raya di rumah ini termasuk membeli lauk di pasar, memasak lemang dan membersihkan rumah.

Keputusan

Akibat pandemik Covid-19 juga, semua perbicaraan kes di mahkamah terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang lain, begitu juga dengan prosiding membabitkan bekas Pegawai Kadet Laut UPNM itu.

Namun keluarga Zulkarnain mengharapkan perbicaraan itu akan selesai segera memandangkan kes itu sudah melewati tempoh tiga tahun.

“Keputusan mahkamah kelak mungkin akan menjadi penutup kepada kesedihan yang ditanggung oleh kami kelak,” katanya.

Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Allahyarham Zulfarhan bersama ibunya ketika di UPNM.
Allahyarham Zulfarhan bersama ibunya ketika di UPNM.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.