Remaja hanyut diselamatkan guru KAFA diambil keterangan

Barudin
Barudin
A
A
A

PARIT - Remaja perempuan yang memandu kereta bersama empat rakan lain hingga terbabas memasuki tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah di sini semalam telah diambil keterangannya hari ini.

Mangsa berusia 18 tahun itu merupakan salah seorang daripada lima mangsa yang telah diselamatkan oleh seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam kejadian sekitar jam 12.20 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mangsa telah hadir ke Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk diambil keterangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua mangsa menaiki Proton Iswara dalam perjalanan dari Seri Iskandar menuju ke Changkat Lada melalui Jalan Bota Kiri- Ulu Dedap.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan tersebut dipercayai telah hilang kawalan menyebabkan terbabas dan terjunam ke dalam tali air.

“Empat mangsa dilaporkan tidak cedera dan menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang lagi stabil dan ditempatkan di Hospital Teluk Intan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Katanya, kompaun berjumlah RM1,000 akan dikeluarkan kepada mereka kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Berdasarkan peraturan itu mana-mana yang memandu kenderaan persendirian boleh membawa penumpang dan penumpang itu hendaklah orang yang tinggal serumah dengannya.

Artikel Berkaitan:

”Saman turut dikeluarkan kepada pemandu mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 166/59,” katanya.