KKM rangka protokol kawal penularan Covid-19 di depot tahanan

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini sedang merangka prosedur penempatan dan protokol kesihatan bagi mengekang potensi penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di 18 depot tahanan warga asing di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata,14 daripada keseluruhan depot tahanan itu di bawah seliaan Jabatan Imigresen manakala empat lokasi lagi di Sabah di bawah kendalian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, buat masa ini KKM masih menggunakan pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap tiga depoh tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Sepang dan Semenyih bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak.

"Protokol kemasukan OKT (Orang kena tahan) di DTI kini sedang dirangka tetapi buat masa ini kita wajibkan semua disaring sebelum ditempatkan di pusat tahanan.

"Pendekatan ini bukan saja membabitkan DTI, tetapi akan diperluaskan kepada penempatan tahanan lain seperti penjara," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, prosedur di tiga DTI mengikut PKPD iaitu saringan dibuat kepada semua sama ada kakitangan atau OKT.

"Hari ini tiada laporan kes baharu lain membabitkan DTI namun kita sudah tegaskan sebelum ini bahawa siapa yang bakal ditahan dan ditempatkan di DTI perlu disaring.

"PKPD membantu kita menyekat penularan jangkitan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, KKM menyifatkan cadangan kes jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan warga asing dikawal menggunakan model seperti menangani kes HIV dalam kalangan penagih dadah sebagai sesuatu yang baik.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, pihaknya perlu menilai semua aspek kerana kebimbangan bukan sahaja melibatkan Covid-19 tetapi kes berjangkit lain.

"Saranan ini baik dan sepatutnya kita berbincang secara holistik melihat kepada isu iaitu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing.

"Antara isu yang ditimbulkan ialah penempatan mereka dan sebagainya. Jadi kita perlu menyelesaikan masalah ini.

"KKM akan melihat aspek kesihatan. Hari ini kita bukan hanya bimbang jangkitan Covid-19 tetapi bimbang kalau ada jangkitan lain seperti tibi dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan seorang ahli akademik supaya kes jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan warga asing dikawal menggunakan model seperti menangani kes HIV dalam kalangan penagih dadah di Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, menjadi dasar KKM bahawa semua sektor membabitkan kesihatan.

"Jadi, kalau boleh kita kena bersama mendapatkan satu penyelesaian supaya boleh kurangkan jangkitan penyakit berjangkit dalam kalangan bukan warganegara Malaysia," katanya.