Kes positif libatkan rakyat Malaysia menurun sejak PKPB

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Kepatuhan orang ramai dan pihak industri terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyaksikan tren penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan masyarakat setempat semakin berkurangan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes dilihat berkurangan dari minggu sebelum PKPB dilaksanakan.

"Sejak hampir sebulan penguatkuasaan PKPB di negara kita didapati jumlah kes positif Covid-19 dari 4 Mei 2020 sehingga 27 Mei 2020 adalah 1,189 kes.

"Berdasarkan jumlah ini, kes di kalangan warganegara Malaysia adalah hanya 22.7 peratus iaitu 270 kes.

"Selain itu, 77.3 peratus pula melibatkan kes bukan warganegara iaitu 919 kes termasuk 383 kes bukan warganegara di dalam tiga buah Depot Tahanan Imigresen (DTI)," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, pelbagai SOP telah diluluskan kerajaan untuk dilaksanakan oleh pelbagai industri dan orang ramai dalam kehidupan seharian.

"Ini termasuk upacara keagamaan dan sambutan perayaan di mana kerajaan telah berusaha keras bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap SOP.

"Langkah ini diambil agar jumlah kes Covid-19 adalah terkawal dan pada masa yang sama industri serta aktiviti yang dibenarkan kerajaan dapat dijalankan dengan terkawal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika usaha-usaha tersebut diteruskan oleh semua dengan sikap dan rasa tanggungjawab sosial pasti rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan.

"Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pelbagai industri dan orang ramai kerana sudi memikul beban bersama kerajaan demi kepentingan komuniti dan negara," katanya.