Suspek kes ragut, curi motosikal diberkas

Antara barangan yang dirampas daripada suspek kes ragut.
Antara barangan yang dirampas daripada suspek kes ragut.
A
A
A

PETALING JAYA – Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ragut di Taman Dato Harun ditahan secara berasingan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek pertama berusia 35 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta jenis Honda pada jam 1.30 petang di Jalan PJS 2/21 C, Taman Dato Harun.

Katanya, hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berhubung kes samun di hadapan Masjid Jumhurian Taman Dato Harun.

"Sejam kemudian, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Medan.

“Suspek dipercayai melakukan jenayah ragut ke atas seorang wanita pada jam 2.30 petang, Sabtu lalu.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Nik Ezanee memaklumkan, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal pada jam 11 malam, di Kampung Lindungan, di sini, semalam.

Katanya, penahanan tersebut hasil maklumat risikan dan pengecaman imej pada kamera litar tertutup di lokasi kejadian di Sungai Way pada 13 Mei lalu dan hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah curi motosikal.

Artikel Berkaitan:

“Suspek juga telah mengaku terlibat dalam kes curi motosikal di Sungai Way bersama rakannya yang masih bebas dikenali sebagai Aiman dan mendakwa motosikal curi itu ada bersama lelaki berkenaan,” katanya.

Nik Ezanee berkata, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.