[DIKEMASKINI] Pengguna keliru kaedah kira bil TNB: Menteri

Shamsul Anuar (tengah) pada sesi lawatan kerja ke Pejabat ST Perak hari ini.
Shamsul Anuar (tengah) pada sesi lawatan kerja ke Pejabat ST Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengesahkan tiada sebarang kesilapan berlaku dalam pengiraan bil oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa melambung tinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu kemungkinan berlaku disebabkan salah faham segelintir pengguna yang keliru dengan kaedah pengiraan dilakukan syarikat utiliti terbabit.

"Satu perkara yang saya nak sebut, apa juga kaedah pengiraan, TNB tidak boleh membuat sewenangnya, ia hanya boleh dilakukan setelah ia diluluskan Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Sebagai sebuah badan yang mempunyai autoriti, ST bertanggungjawab mengawal selia apa juga berkaitan isu itu dan saya nyatakan di sini bahawa kaedah pengiraan yang dimaklumkan kepada rakyat itu telah pun diluluskan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat ST Perak yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ST, Razib Dawood di sini hari ini.

Shamsul Anuar (dua dari kiri) pada sidang media di Pejabat ST Perak hari ini.
Shamsul Anuar (dua dari kiri) pada sidang media di Pejabat ST Perak hari ini.

Bagaimanapun, beliau menyarankan pengguna yang terkesan untuk mengemukakan terus aduan kepada ST dan TNB bagi tujuan penilaian.

Sementara itu katanya, bermula 1 Jun ini, TNB akan menambah pembukaan kedai tenaga di seluruh negara bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat termasuk menyelesaikan kekeliruan pengguna yang berdepan isu bil tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan faham dan menyedari ada kekeliruan dalam kalangan rakyat dalam perkara ini, kerana itu kita minta TNB dan kementerian sendiri untuk melengkapkan penjelasan terperinci kepada rakyat.

"Apa dijanjikan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini akan kita laksanakan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi pelaksanaan diskaun bil elektrik selama enam bermula April berikutan wabak koronavirus (Covid-19) antaranya diskaun bil elektrik secara berperingkat antara 15 hingga 50 peratus membabitkan 3.3 juta pengguna di seluruh negara.

Terdahulu, tular di media sosial rungutan pengguna yang antara lain meminta penjelasan TNB berhubung bil elektrik yang dikatakan melambung tinggi dalam tempoh PKP.