Kerajaan digesa tegas, hadkan premis jualan arak

Ahmad Yahaya
Ahmad Yahaya
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah mencadangkan kerajaan bertindak lebih tegas dengan mengehadkan premis jualan arak dan hanya membenarkan minuman itu diminum di rumah sahaja.

Pesuruhjayanya, Ahmad Yahaya berkata, ia seperti dilakukan kerajaan Kelantan yang memulakan tindakan itu seawal 1990-an dan dilihat berjaya mengekang kes maut melibatkan pemandu mabuk.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet melibatkan beberapa kementerian untuk bertindak segera menangani kes terbabit.

“Kami juga berharap Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantung semua lesen penjualan arak dan minuman beralkohol yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka 24 jam,” katanya.

Ahmad berkata, Pas berpendapat isu berkenaan perlu diatasi segera kerana senario itu boleh membunuh.

“Industri arak di Malaysia melebih RM20 bilion. Berapa ramai lagi yang akan kehilangan nyawa,” katanya.

Menurutnya, sejak Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara, lima kes kematian membabitkan 25 peratus berpunca daripada pemandu mabuk.

“Ternyata arak ialah ibu maksiat. Usah tunggu jumlah mangsa bertambah, baru hendak bertindak. Mengelak itu lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Mei lalu, dua lelaki dipercayai cedera selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipercayai dipandu lelaki mabuk di tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sementara, pada 3 Mei, seorang anggota polis maut selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk merempuh sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan pada awal pagi.