Degil sangat ziarah Aidilfitri, 31 individu dikompaun

Ismail Sabri - Foto video RTM
Ismail Sabri - Foto video RTM
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejumlah 31 kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas individu yang mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana kesalahan ziarah sempena Aidilfitri, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 31 kompaun itu adalah sebahagian daripada jumlah 102 kompaun yang dikeluarkan di balai polis seluruh negara dengan keseluruhan kompaun dikeluarkan terhadap individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB sebanyak 387 kes.

Menurutnya, 285 kompaun dikeluarkan polis sewaktu mengadakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan, manakala 194 kompaun dikeluarkan menerusi sekatan jalan raya.

"Saya tahu mungkin ramai beranggapan tindakan PDRM memberi kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri agak keras.

"Bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang oleh PDRM adalah susulan daripada keputusan kerajaan yang sudah memberi berbagai amaran sebelum tindakan diambil.

"Dari aspek positif, daripada keseluruhan rakyat Malaysia hanya 102 individu dikenakan kompaun kerana mengingkari pematuhan standard prosedur operasi (SOP) PKPB dan jumlah itu membuktikan majoriti rakyat Malaysia sentiasa mematuhi SOP ditetapkan," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri turut menegaskan jumlah kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dikenal pasti semakin berkurangan pada hari ini berbanding hari sebelumnya.

Menurutnya, jumlah kenderaan cuba merentas negeri, namun telah diarahkan berpatah balik oleh PDRM pada hari ini adalah sebanyak 738, jauh berkurangan berbanding 1,243 pada hari sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Negeri Selangor masih mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi iaitu sebanyak 317 kenderaan diikuti Melaka (89) dan Kedah (80).

"PDRM juga telah mengenakan 153 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa 102,852 kenderaan.

"Justeru, semua pihak diingatkan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan dan PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka mencuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk mengenakan kompaun," katanya