Komited lindungi perairan negara

APMM sentiasa melakukam.pemantaun di laut malah setiap masa walau pada musim perayaan.
APMM sentiasa melakukam.pemantaun di laut malah setiap masa walau pada musim perayaan.
A
A
A

BUKAN mudah bertugas di tengah lautan. Namun itulah yang perlu dihadapi pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Walaupun terpaksa berpanas dan berhujan, tetapi tidak pernah menjadi penghalang buat mereka untuk terus melindungi perairan negara daripada ancaman musuh dan pencerobohan.

Tugas yang digalas perlu dilaksanakan dengan teliti dan dedikasi dalam usaha memastikan kegiatan penyeludupan masuk ke perairan Malaysia dapat dikekang.

Menyelami tugas sebenar pihak APMM, penulis berkesempatan mengikuti pelayaran sehari bersama pihak berkenaan dalam melaksanakan Op Benteng di sekitar kawasan perairan Selangor baru-baru ini.

Pelayaran bermula dengan wakil media termasuk Sinar Harian, Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3 menaiki aset APMM bergerak dari Port Klang untuk ke tengah lautan bagi melihat sendiri situasi sebenar mengenai Op Benteng yang diketuai Ketua Pengarah APMM Malaysia Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Jalan tikus

Menurut Mohd Zubil, beliau menjangkakan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan cuba menyeludup masuk semula ke negara ini melalui ‘jalan tikus’ di Selat Melaka selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“PATI mungkin akan cuba masuk semula ke negara ini untuk bekerja selepas pulang beraya memandangkan aktiviti industri sudah beroperasi semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Lebih membimbangkan apabila PATI yang berjaya bolos ke negara ini akan mengimport virus koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kawalan di sempadan perairan negara akan terus dipertingkatkan menerusi Op Benteng ketika perayaan Aidilfitri terutama di lokasi titik panas pendaratan iaitu di Selat Melaka,” katanya.

Sebahagian anggota APMM Selangor yang menyertai Op Benteng.
Sebahagian anggota APMM Selangor yang menyertai Op Benteng.

Zubil berkata, bagi mempertingkatkan kawalan untuk menyekat kemasukan PATI ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19, operasi yang melibatkan kerjasama bersepadu agensi-agensi penguatkuasaan negara dilancarkan dengan memberi tumpuan terhadap bot atau kapal yang mencurigakan.

“Beberapa minggu lalu pihak kami bersama aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan 10 bot pemintas di kapal induk Maritim di kawasan tertentu di sepanjang Selat Melaka.

“Kita letakkan bot-bot pemintas itu dalam keadaan standby mode berhampiran kapal induk selama 24 jam agar mudah bergerak apabila sistem pengesanan radar kapal induk mengesan pergerakan mencurigakan di perairan negara,” katanya.

Zubil menambah, bot-bot pemintas hanya menerima isyarat radar daripada kapal induk sebagai garis panduan untuk ke lokasi tertentu kerana bot tersebut tidak mempunyai radar pengesanan.

“Bot-bot pemintas itu ditempatkan bersama dengan kapal induk agar dapat bergerak ke lokasi dengan lebih pantas sebaik sahaja bot atau kapal yang mencurigakan dikesan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap tekong tempatan mahupun tekong luar yang bersubahat menyediakan penginapan buat PATI.

“Kesemua pergerakan tekong akan dipantau tidak kira sebarang laluan sekalipun. Mereka kena ingat, kita ada aset udara yang dibantu oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dan Pasukan Gerakan Udara yang membuat pemantauan serta rondaan pada waktu siang dan malam,” katanya.

Op Benteng yang digerakkan di bawah National Task Force yang turut diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM bertujuan mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19