Covid-19: Kes meningkat, 172 kes baharu direkodkan

Noor Hisham -Foto Bernama
Noor Hisham -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes positif wabak koronavirus (Covid-19) hari ini kembali kepada angka tiga digit selepas 172 kes baharu dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu meningkat kepada 7,417 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada 172 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Selain itu, daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 112 kes telah dikesan di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI).

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depot-depot Imigresen ini merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes sembuh yang direkodkan hari ini juga jauh lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu 34 kes.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 34 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,979 kes atau 80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiada kematian akibat pandemik itu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kekal 115 orang.