Kes denggi di Selangor meningkat

Info grafik mengenai maklumat kes demam denggi di Selangor yang dikongsikan Dr Siti Mariah di Facebooknya.
Info grafik mengenai maklumat kes demam denggi di Selangor yang dikongsikan Dr Siti Mariah di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes demam denggi di Selangor mencatat peningkatan sebanyak 1.9 peratus pada minggu ke-20 (sehingga 16 Mei) berbanding minggu ke-19 lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud menerusi maklumat dikongsikan di Facebook miliknya memaklumkan, sebanyak 27 kes kematian direkodkan akibat dijangkiti demam denggi di Selangor sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, kumulatif kes menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus apabila 25,388 kes dicatat hingga minggu ke-20 berbanding 28,336 kes direkod dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Tren mingguan menunjukkan peningkatan kecil kes demam denggi iaitu 644 kes pada minggu ke-20 berbanding 632 kes pada minggu ke-19.

“Tiada kematian dilaporkan pada minggu ke-20 menjadikan kumulatif kematian kekal sebanyak 27 kes, menyamai jumlah dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Dr Siti Mariah menerusi info grafik dikongsikan di Facebooknya turut memaklumkan daerah Petaling merekod jumlah kes demam denggi tertinggi iaitu 8,685 kes manakala Klang (5,063 kes) Hulu Langat (4,279 kes) dan Gombak 3,871 kes.

Terdahulu, beliau berkata, demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.

Menurutnya, pesakit yang mengalami tanda dan menunjukkan gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera.

Artikel Berkaitan:

“Dalam usaha kita mencegah koronavirus (Covid-19), amalkan juga langkah pencegahan denggi seperti memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk, membuang bekas yang boleh menakung air dan menggunakan repellen,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan memaklumkan sehingga 9 Mei lalu, sebanyak 3,095 kes demam denggi dilaporkan di kawasan pentadbiran (MPSJ).

Menurutnya, 10 kawasan ditakrif sebagai kawasan panas demam denggi termasuk Flat Taman Mawar, Taman Kinrara Seksyen 5; Kampung Tengah, Batu 13 Puchong;Taman Sri Puchong dan Pangsapuri Damai Utama, Taman Damai Utama.

Turut disenaraikan sebagai kawasan panas termasuk Taman Puchong Indah 1;Bandar Kinrara 5/9 – 5/18; Bandar Bukit Puchong 2; Taman Puchong Utama 2; Bandar Kinrara 2 dan Taman Lestari Putera 4.

“Masyarakat diminta mengamalkan aspek kebersihan dengan mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar premis kediaman masing-masing,” katanya.