Topeng muka, cecair pembasmi kuman jadi hantaran

Yaakob dan Saudah menunjukkan topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang dijadikan sebagai hantaran pada majlis perkahwinan mereka.
Yaakob dan Saudah menunjukkan topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang dijadikan sebagai hantaran pada majlis perkahwinan mereka.
A
A
A

KOTA BHARU - Penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini mendorong pasangan pengantin baharu warga emas menjadikan topeng muka dan cecair pembasmi kuman sebagai salah satu barangan hantaran sempena majlis perkahwinan mereka di Kampung Desa Taqwa, Jalan Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Pasangan warga emas, Yaacob Hassan,77, dan Saudah Yaacob,64, selamat dinikahkan oleh Imam Tua Masjid Mukim Padang Bongor, Mohammad Nurul Amin Abdul Rahman dalam satu majlis ringkas yang dihadiri oleh keluarga terdekat mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana telah ditetapkan oleh kerajaan.

Selain topeng muka dan cecair pembasmi kuman, sebentuk cincin, kek, buah-buahan, kain pasang turut dijadikan sebagai hantaran serta wang tunai berjumlah RM3,000 sebagai mas kahwin.

Cucunya, Nur Azwaadiey Rosli,25, berkata, pemilihan topeng muka dan cecair pembasmi kuman itu merupakan salah usaha memupuk kesedaran dalam kalangan ahli keluarga untuk menjaga kebersihan sepanjang musim Covid-19 ini.

>

Lafaz akad nikah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana telah ditetapkan oleh kerajaan dengan tidak bersalam.
Lafaz akad nikah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana telah ditetapkan oleh kerajaan dengan tidak bersalam.

"Kebersihan merupakan aspek paling penting yang perlu dititik beratkan sebagai salah satu usaha mengekang penularan wabak berkenaan selain mengamalkan penjarakkan sosial dan mengurangkan aktiviti luar rumah," katanya.

Menurutnya, majlis hari ini merupakan perkahwinan kedua buat kedua-dua pasangan warga emas itu.

"Datuk kematian isteri sejak enam bulan lalu dan pasangannya pula kehilangan suami lima tahun lalu," katanya yang merupakan cucu ketujuh kepada Yaacob.

Artikel Berkaitan:

Nur Azwaadiey berkata, keputusan perkahwinan itu dibuat selepas tahap kesihatan datuknya yang merupakan bekas penarik beca semakin baik.

Yaakob (kiri) bersama rombongan hadir ke majlis perkahwinannya dengan memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakkan sosial.
Yaakob (kiri) bersama rombongan hadir ke majlis perkahwinannya dengan memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakkan sosial.

Katanya, sebelum ini datuknya menghidap penyakit kanser Limfoma atau kanser darah telah pulih selepas menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali.

"Alhamdulillah, datuk makin sihat dan sudah mampu untuk turun ke kebun. Tahap kesihatan datuk yang makin baik ini merupakan anugerah tidak terhitung nilainya buat kami semua," katanya.

Sementara itu, Yaacob berkata, dia berharap semoga anak dan cucu-cucunya mendoakan semoga dia kekal sihat bersama isteri tercinta.

"Tujuan utama saya berkahwin adalah untuk meneruskan hidup bersama teman.

"Dengan adanya isteri, dapatlah mengubat kesunyian saya," katanya.

Yaacob mempunyai 10 orang cahaya mata dan 31 cucu dan dua cicit, sementara Saudah pula ada empat orang anak dan 11 cucu.