X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 48 kes baharu, tiada kematian

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 48 kes baharu positif Covid-19 direkod hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini 7,185 kes, dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,158 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 48 kes baharu yang dilaporkan, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 44 kes adalah penularan tempatan.

“Daripada 44 kes penularan tempatan itu, 25 kes adalah bukan warga Malaysia dengan 21 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 53 kes pulih daripada Covid-19 pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad adalah 5,912 kes (82.3 peratus).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada sebarang kes kematian dicatat menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 115 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat menangguhkan aktiviti menziarahi keluarga lain dan rakan-rakan serta mengelak untuk menziarahi pusara sempena sambutan Aidilfitri esok.

"Ini termasuk perjalanan merentas negeri yang mungkin boleh mengakibatkan penularan ke kawasan yang lain terutama ke zon hijau.

"Kita perlu mengambil iktibar daripada Kluster Pengerang (di mana penyebaran Covid-19 berlaku akibat aktiviti merentas negeri) dan juga sub-kluster Rembau (di mana penyebaran jangkitan Covid-19 didapati turut berlaku akibat aktiviti kunjung mengunjung sanak saudara)," katanya.

Katanya, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, hari raya tahun ini boleh diraikan dengan keluarga di rumah masing-masing dengan cara yang tertutup serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) perayaan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum ini, MKN telah menyatakan bahawa jumlah ahli keluarga yang berkumpul pada hari raya tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari, namun tertakluk kepada keluasan ruang rumah.

Selain itu, penjarakan sosial dan kebersihan diri perlu sentiasa diamalkan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!