X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 jadikan rakyat tidak boros

Suasana di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semalam dikunjungi orang ramai bagi membuat persiapan Aidilfitri pada hari-hari terakhir Ramadan. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kadar perbelanjaan umat Islam di Malaysia untuk menyambut Aidilfitri esok didapati mengalami pengurangan sebanyak 50 peratus.

Keadaan tersebut berlaku ekoran langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi menghalang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Langkah itu memberikan kesan besar terutama dari segi ekonomi yang menyaksikan banyak perniagaan terjejas teruk dan ada dalam kalangan rakyat hilang pekerjaan.

Bagaimanapun, kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sektor perniagaan kembali beroperasi.

Ekoran itu, ramai dalam kalangan umat Islam mengambil langkah berjimat cermat dan tidak boros berbelanja seperti kebiasaan yang dilakukan sebelum ini, sekali gus menyambut hari raya secara sederhana.

Menurut pakar kewangan pengguna, Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, secara purata rakyat Malaysia berbelanja di antara RM1,000 hingga RM3,000 untuk menyambut hari raya.

Anggaran perbelanjaan menyambut Aidilfitri berdasarkan lima orang sekeluarga.
Anggaran perbelanjaan menyambut Aidilfitri berdasarkan lima orang sekeluarga.

“Berdasarkan pemerhatian pada tahun ini didapati perbelanjaan pengguna berkurangan sebanyak 50 peratus kerana beberapa faktor seperti tiada lagi kos pengangkutan, penyelenggaraan kenderaan, minyak dan tol kerana tidak balik ke kampung disebabkan PKP.

“Pengguna juga tidak berbelanja besar untuk membeli pakaian yang menelan kos tinggi termasuk keperluan untuk menyediakan duit raya dan jumlah makanan yang banyak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, golongan yang paling terkesan disebabkan PKP ialah penduduk di bandar.

“Ini kerana kos sara hidup di bandar jauh lebih tinggi berbanding di luar bandar yang masih boleh membeli barang keperluan asas pada harga rendah.

“Sejak Covid-19 melanda negara, golongan yang tinggal di bandar yang menjadi miskin bandar semakin meningkat kerana ada perniagaan tidak dapat beroperasi, pemotongan gaji dan berlaku pembuangan pekerja,” katanya.

Mohamad Fazli turut meramalkan trend perbelanjaan pengguna akan kekal rendah sehingga tahun depan selagi vaksin atau penawar bagi Covid-19 tidak ditemui.

“Berdasarkan beberapa laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tanda-tanda Covid-19 untuk pulih mungkin ambil masa yang panjang.

“Jadi setiap individu akan memastikan pengurusan kewangan dalam keadaan terkawal dan tidak berlebihan. Pengguna akan berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tabungan masing-masing sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan pada masa depan.

“Dengan penjimatan yang dilakukan untuk perbelanjaan hari raya ini, maka orang ramai bolehlah menabung.

“Ini kerana data Bank Negara Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan 52 peratus rakyat Malaysia menyatakan sukar menyediakan sejumlah wang sebanyak RM1,000 jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Menurutnya, laporan Khazanah Institute bagi tahun 2006 hingga 2013 pula mendapati kadar simpanan isi rumah di Malaysia hanya pada kadar 1.6 peratus.

“Jika dibandingkan dengan negara seperti Luxembourg atau Sweden, penduduk negara itu mempunyai kadar tabungan yang tinggi iaitu sebanyak 17 hingga 18 peratus berbanding kita,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus