UMNO Selangor terus main peranan jadi pembangkang berwibawa

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa di negeri ini walaupun terdapat khabar angin kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor sedang goyah.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO tidak mempunyai kerusi mencukupi di negeri ini walaupun ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Kita hanya akan membuat keputusan jika ada keperluan tertentu kerana UMNO hanya ada lima daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Anak Yatim Parlimen Tanjong Karang di Homestay Haji Omar Parit 2 di sini hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, parti itu akan menjadi penentu jika berlaku pembentukan kerajaan baharu di Selangor.

Noh (kanan) menyampaikan sumbangan kain jubah kepada salah seorang wakil masjid pada Majlis Penyampaian Sumbangan Anak Yatim Parlimen Tanjong Karang di Homestay Haji Omar Parit 2 di sini hari ini.
Noh (kanan) menyampaikan sumbangan kain jubah kepada salah seorang wakil masjid pada Majlis Penyampaian Sumbangan Anak Yatim Parlimen Tanjong Karang di Homestay Haji Omar Parit 2 di sini hari ini.

Terdahulu, Noh menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kira-kira 1,000 penerima terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan golongan susah yang mempunyai sekurang-kurangnya empat anak masih bersekolah.

"Pada tahun ini, kita menyampaikan sumbangan kepada kumpulan baharu iaitu keluarga susah yang mempunyai tanggungan empat atau lebih anak bersekolah selain sumbangan tiga pasang kain kepada semua masjid di seluruh Parlimen ini," katanya.

Menurut beliau, pengagihan itu dibuat di lokasi berbeza dan penyampaian sumbangan turut dibantu Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Tanjong Karang.

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan penerima yang hadir pula tidak boleh lebih daripada 20 orang dan dibantu AJK UMNO yang mewakili saya untuk menyampaikan sumbangan ini di beberapa kampung lain," katanya.