Covid-19: 78 kes positif baharu, 40 kes libatkan warga asing

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mencatatkan 78 kes positif baharu koronavirus (Covid-19) hari ini yang mana 25 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 40 kes dalam kalangan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,137 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,163 kes.

"Daripada 78 kes, 25 adalah kes import. Sebanyak 53 kes penularan adalah tempatan di mana 40 daripadanya bukan warganegara Malaysia termasuk 25 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat satu kematian baharu direkodkan melibatkan lelaki warganegara berumur 65 tahun.

Kematian itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 115 kes iaitu 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes kematian ke-115 (kes ke-3,616) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

"Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 3 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 Mei 2020 jam 2.58 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat 63 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,859 kes iaitu 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.