170,000 usahawan terjejas, kemungkinan tukar jenis perniagaan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - Foto Bernama
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 170,000 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikro dan koperasi seluruh negara terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu meliputi 20 peratus daripada kira-kira 850,000 PKS seluruh negara hasil kajian oleh SME Corp.

Menurutnya, jumlah itu turut dijangka melakukan pertukaran jenis perniagaan yang lebih bersesuaian.

"Mengikut kajian yang dibuat oleh SME Corp sehingga 20 peratus usahawan terjejas. Mereka ini bukan sehingga berhenti daripada berniaga kerana jiwa mereka sebati dengan berniaga.

"Mungkin dia tidak akan berniaga jenis yang dibuat sekarang. Mungkin akan menjalankan perniagaan lain," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke premis perniagaan di Bangunan Mara dan Pertama Kompleks di sini hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedia membimbing dan memberi latihan kepada golongan PKS yang terjejas termasuk kursus secara dalam talian.

Pihaknya juga telah telah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan tambahan peruntukan bagi membantu PKS seluruh negara.

"Sekarang proses latihan memang kita buat bahkan telah menjangkau tahap tiga kali ganda. Dulu mungkin 10 ke 20 orang saja kursus dalam talian, sekarang dah capai beribu orang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, urusan kaunter bagi sebarang proses bantuan kewangan melibatkan agensi di bawah MEDAC akan diminimumkan meskipun selepas tempoh PKP, selain proses birokrasi dipendekkan bagi mempercepatkan proses permohonan.

"Kebanyakan prosedur agensi-agensi berkaitan sebelum ini berlandaskan urusan kaunter. Contohnya TEKUN ada 17 proses, selepas kajian, kita tinggal empat sahaja proses.

"Kita meluluskan bantuan kewangan sebelum 13 proses lain dilengkapkan oleh usahawan. Maknanya boleh hantar kemudian," katanya.

Sementara itu katanya, proses secara dalam talian yang ketika ini menjadi normal baharu akan menjadi normal selepas ini.

"Kebanyakan urusan dalam talian dan tak perlu lagi ke kaunter. Malah terdapat juga lawatan tapak yang tidak perlu dibuat," katanya.