Pertama kali Kuala Lumpur meriah pada hari raya

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

HANYA tinggal dua hari lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang cukup aneh. Suasana yang tidak pernah dijangka atau dirasai oleh mana-mana generasi sebelum kita.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, ratusan ribu kenderaan sepatutnya sudah pun meninggalkan Lembah Klang dan menjadikan ibu negara ini kosong seolah-olah tidak berpenghuni.

Tahun ini ia tidak berlaku kerana kita sedang berperang dengan virus pembunuh koronavirus. Semua orang berada di rumah masing-masing.

Bagi Merak Jalanan, hari raya tahun ini sepatutnya diraikan di rumah sebelah isteri di Johor tetapi memandangkan tahun ini pertama kali disambut di rumah sendiri, Merak Jalanan mengambil keputusan mengecat semula rumah.

Walaupun Merak Jalanan hanya menerima satu tetamu iaitu keluarga abang kandung yang duduk di negeri yang sama, ia sudah cukup meriah bagi meraikan hari raya tahun ini.

Keluarga sebelah isteri juga memahami keadaan sekarang dan ibu mertua juga memberi arahan supaya tidak balik beraya. Nasib baiklah adik-beradik isteri yang lain berada berdekatan dan boleh beraya dengan ibu bapa mereka.

Bagi yang beraya di Lembah Klang, jadikanlah tahun ini sebagai tahun yang menjadikan kita semua lebih baik.

Walaupun arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai di antara kita hilang kerja, namun percayalah rezeki kita ada di tempat lain.

Artikel Berkaitan:

Semoga selepas perayaan ini keadaan menjadi lebih baik. Ikutlah arahan yang telah dikeluarkan dan sentiasa memakai topeng muka dan kerap membasuh tangan.

Ingat, hanya 20 orang boleh berada dalam rumah pada satu-satu masa pada hari pertama raya, jangan rentas negeri dan sambutlah raya dengan selamat.

Kita tidak mahu selepas raya nanti PKP terpaksa diperketatkan semula.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua!