Episod malang Mat Rempit dan pemandu mabuk

BERITA baik pertama untuk seluruh rakyat Malaysia kecuali mat rempit ialah berkuat kuasa 1 November ini ialah pindaan bagi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)/Seksyen 42A akan mula dikuatkuasakan.
Ini bererti mana-mana individu terlibat dalam perlumbaan haram dan ujian kelajuan di jalan raya boleh didenda bermula RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sabitan kedua atau seterusnya ialah denda RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Berita baik kedua ialah kerajaan mencadangkan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan atau ganti rugi kepada mangsa kemalangan atau keluarga waris.
Mekanisme pampasan ini akan ditambah kepada hukuman sedia ada seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu di bawah Seksyen 44 Akta 333.
Ia turut meliputi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, pengaruh dadah serta pemanduan melulu yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.
Jumlah pampasan akan ditentukan mahkamah berdasarkan merit dan kerugian setiap kes.
Dan jika pemandu terbabit tidak dapat atau gagal membayar pampasan, maka sitaan aset akan dilakukan.
Pada masa ini, cadangan pindaan akta tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen.
Jadi peruntukan undang-undang baharu bakal menjadi episod paling malang kepada mereka yang begitu berani melanggar undang-undang negara.
Namun paling penting diharapkan dapat mengurangkan nyawa yang tidak berdosa melayang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
