Jamin tiada gangguan bekalan air pada hari raya

Mohamad Fazli (tengah, depan) meninjau persiapan bekalan air sempena Aidilfitri di Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng pada Selasa.
Mohamad Fazli (tengah, depan) meninjau persiapan bekalan air sempena Aidilfitri di Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan Johor memberi jaminan tiada gangguan bekalan air di Kota Tinggi terutama membabitkan Felda Gugusan Waha dan Felda Lok Heng yang sering kali terjejas setiap kali Aildilfitri.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, menerusi pelan mitigasi yang telah dilaksanakan Ranhill SAJ, bekalan air dapat disalurkan dengan lancar kepada 20,400 pengguna di kawasan berkenaan.

Selain itu, Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng juga telah beroperasi sementara bagi memenuhi keperluan penduduk meskipun LRA berkenaan dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun.

"Apabila tiba musim perayaan terutama Aidilfitri penggunaan air akan meningkat di kawasan kampung dan pedalaman.

"Keadaan itu menyebabkan bekalan air tidak mencukupi terutama bagi kawasan berbukit dan di kawasan hujung sistem bekalan seperti di Felda Lok Heng dan Felda Waha ini.

"Keadaan itu menyebabkan Felda Lok Heng dan Felda Waha di Kota Tinggi dan Labis di Segamat antara kawasan hotspot yang sering menerima aduan ketiadaan air semasa musim perayaan," katanya.

Mohamad Fazli (tengah) meninjau persiapan bekalan air sempena Aidilfitri di Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng pada Selasa.
Mohamad Fazli (tengah) meninjau persiapan bekalan air sempena Aidilfitri di Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan bekalan air sempena Hari Raya Aidilfitri di LRA Lok Heng di sini, pada Selasa.

Menurut Mohamad Fazli, pihak Ranhill SAJ juga menyediakan genset untuk persediaan menghadapi gangguan elektrik.

"Kita harapkan tiada kejadian di luar jangka berlaku seperti paip pecah. Sekiranya terjadi, penghantaran air statik akan digunakan.

"Sebanyak 28 buah lori tangki bergerak disediakan di Batu Pahat,Kluang, Mersing dan Pontian sekiranya berlaku gangguan air," katanya.

Ujarnya, sebanyak 275 buah tangki statik turut ditempatkan di lokaliti terpilih seluruh negeri dimana, 19 buah tangki statik mudah alih bersedia digerakkan serta 11 buah generator disewa bagi tenaga sokongan kepada LRA utama yang berisiko terputus bekalan elektrik.

Mengenai bekalan elektrik pula, Mohamad Fazli berkata pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengenal pasti 28 lokasi di negeri ini yang kerap selalu berlaku gangguan semasa perayaan.

"Gangguan ini berpunca daripada tumpuan beban yang serta merta tinggi di malam raya terutama di kawasan kampung.

"TNB Johor akan menyediakan 22 set generator bergerak bagi mengatasi masalah beban berlebihan supaya tiada gangguan berlaku," katanya.