Kes tahanan mati dalam lokap wajib dijawab secara telus

MERAK Jalanan berpandangan setiap kematian dalam tahanan polis mesti dijelaskan dengan cepat, telus dan meyakinkan terutama apabila terdapat kesan kecederaan yang menimbulkan keraguan.
Kes terbaharu melibatkan seorang lelaki yang meninggal dunia selepas beberapa hari ditahan sekali lagi menguji keyakinan rakyat terhadap pasukan keselamatan negara.
Siasatan masih berjalan dan tiada pihak wajar dihukum melalui andaian, namun rakyat juga tidak boleh diminta menerima kebisuan sebagai jawapan.
Seseorang yang ditahan belum tentu bersalah, malah sekalipun telah melakukan kesalahan, haknya untuk mendapat perlindungan, rawatan dan proses undang-undang yang adil tidak boleh dinafikan.
Apabila seseorang masuk ke lokap dalam keadaan hidup tetapi keluar tanpa nyawa, negara memikul tanggungjawab menjelaskan setiap perkara yang berlaku sepanjang tempoh tahanan itu.
Rakaman kamera litar tertutup, buku lokap, rekod pemeriksaan kesihatan, laporan forensik dan senarai anggota bertugas mesti diteliti.
Keluarga perlu dimaklumkan segera, manakala siasatan bebas oleh badan pengawasan tidak boleh dilengah-lengahkan.
Ketelusan bukan serangan terhadap polis sebaliknya, ia melindungi ribuan pegawai dan anggota yang menjalankan tugas dengan jujur daripada terpalit dengan kesalahan segelintir pihak.
Sikap berdiam diri pula hanya membenarkan khabar angin, kemarahan dan syak wasangka mengisi ruang yang sepatutnya dipenuhi oleh fakta.
Jangan biarkan setiap kematian dalam lokap 'membunuh' sedikit demi sedikit keyakinan rakyat terhadap polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
