Nak negara bersih, sampah sendiri pun buang merata

MERAK Jalanan kadang-kadang pelik melihat perangai kita sendiri.
Mahu kawasan perumahan bersih, taman cantik dan sungai jernih, tetapi sampah selepas makan pun ada yang tidak sanggup dibuang ke dalam tong.
Kalau begini caranya, siapa sebenarnya yang kita harapkan untuk menjaga kebersihan?
Di tepi jalan, plastik minuman dan pembungkus makanan boleh dilihat berselerak.
Di kawasan rekreasi pula, ada pengunjung yang pulang meninggalkan sisa makanan, botol dan tisu di tempat mereka duduk. Lebih menyedihkan, ada lagi yang membuang sampah dari tingkap kereta seolah-olah jalan raya itu tong sampah bergerak.
Merak Jalanan bukan mahu menuding jari. Memang kerja pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan dan membersihkan kawasan awam tapi tugas itu tidak bermakna kita boleh mengotorkan sesuka hati.
Pekerja pembersihan juga manusia bukan orang yang perlu mengutip setiap sampah akibat sikap sambil lewa kita.
Kita bangga negara lain dipuji kerana bersih dan teratur tapi kebersihan bukan tercipta dengan slogan atau kempen semata-mata.
Ia bermula daripada tabiat harian dan contoh yang ditunjukkan kepada anak-anak. Jadi, sebelum mengeluh melihat kawasan kotor, cuba periksa dahulu tindakan sendiri.
Tidak perlu tunggu orang menegur atau kamera merakam. Simpan sampah, buang di tempat yang betul dan tegur dengan baik.
Mahu negara bersih? Jangan serahkan semuanya kepada orang lain. Mulakan dengan sampah sendiri. Itulah tanda kita semua benar-benar peduli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
