Peragut tercicir telefon

No Image Caption
A
A
A

PARIT BUNTAR - Tindakan bijak seorang mangsa ragut yang memeriksa lokasi kejadian dan menemui sebuah telefon bimbit milik seorang suspek membawa kepada penangkapan tiga lelaki dipercayai dalang kejadian itu, semalam.

Telefon bimbit berkenaan dipercayai terjatuh ketika berlaku pergelutan dengan mangsa dalam satu kejadian ragut di tempat letak kereta Stesen Keretapi Parit Buntar, sekitar jam 5.18 pagi.

Ketika kejadian, mangsa seorang wanita berusia 30-an dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki kereta api atas urusan kerja sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, seorang daripada suspek mengacukan parang sambil menarik beg galas kepunyaan mangsa yang mengandungi dokumen pengenalan diri, tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS), kad bank dan wang tunai bernilai hampir RM900.

“Berlaku pergelutan antara mereka, namun suspek berjaya merentap beg berkenaan dan melarikan diri keluar dari kawasan stesen dengan motosikal.

“Mangsa kemudiannya memeriksa lokasi kejadian sebelum menemui telefon bimbit milik suspek,” katanya yang turut memaklumkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pemeriksaan pada telefon bimbit berkenaan menemui dua keping gambar.

“Berdasarkan gambar itu, polis diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian melakukan serbuan di dua rumah dan berjaya menahan tiga lelaki.

Artikel Berkaitan:

“Polis turut merampas sebuah beg galas milik mangsa, sebuah motosikal model Yamaha 135 LC dan sebilah parang panjang berukuran 55 sentimeter,” katanya.

Beliau berkata, tiga suspek berkenaan akan direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun sama.

Kejadian ragut ini tular di media sosial, semalam yang meminta pengguna perkhidmatan ETS di kawasan itu lebih berwaspada terutama pada waktu awal pagi.