Tiga lelaki terlibat kes ragut diberkas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju dalam serbuan Op Rentap pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di sini, pada jam 7.30 malam pada 22 Mac lalu.

"Berdasarkan risikan, kita menjalankan beberapa siri serbuan dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 29 tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, pada Selasa.

Ahmad Sukarno berkata, pihaknya turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing.

"Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi tiga suspek berkenaan yang diketuai suspek dengan panggilan Wan Palo berusia 29 tahun.

"Mereka melakukan kegiatan ragut di kawasan perumahan dengan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal," katanya.

Beliau berkata, kegiatan jenayah itu dilakukan secara berkumpulan dengan hasil ragut akan dijual kemudian wang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka.

"Semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek dalam kes ini mempunyai rekod kesalahan jenayah,” katanya.

Menurutnya, susulan operasi itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju.

"Kesemua direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.

“Suspek utama kes ini diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan," katanya.