Polis Melaka akan lakukan pemeriksaan mengejut ke rumah

Mat Kasim bertanyakan sesuatu kepada seorang pengguna di sekatan jalan raya Plaza Tol Simpang Ampat malam tadi.
Mat Kasim bertanyakan sesuatu kepada seorang pengguna di sekatan jalan raya Plaza Tol Simpang Ampat malam tadi.
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kediaman yang didapati menerima tetamu yang melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran pada Syawal ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tindakan itu termasuk mengheret mereka ke balai polis dan seramai 94 petugas pemantau akan dikerahkan di ketiga-tiga daerah termasuk Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin untuk membuat pemeriksaan mengejut terhadap kediaman yang mempunyai jumlah kenderaan di rumah yang meragukan.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang berusaha menipu pihak berkuasa pulang ke kampung dengan memberikan alasan mereka hanya merentas daerah memandangkan aktiviti itu dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pintu-pintu masuk dan keluar contoh di Tol Simpang Ampat, dua-dua laluan keluar dan masuk akan kita jaga dan perketatkan.

"Penting untuk pastikan mereka ini mematuhi arahan dan mempunyai kebenaran yang sebenar, janganlah cuba-cuba merentasinya tanpa sebarang alasan kukuh dan wang RM1,000 lebih baik digunakan untuk hari raya daripada membayar kompaun," katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Simpang Ampat di sini malam tadi.

Mat Kasim (tengah) mengaminkan doa ketika lawatannya di sekatan jalan raya Plaza Tol Simpang Ampat malam tadi.
Mat Kasim (tengah) mengaminkan doa ketika lawatannya di sekatan jalan raya Plaza Tol Simpang Ampat malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini sebanyak lapan sekatan jalan raya diwujudkan membabitkan 505 pegawai dan anggota termasuk sekatan jalan raya di laluan pesisir pantai bagi mengekang cubaan penyeludupan keluar masuk pendatang tanpa izin (PATI) menggunakan laluan laut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, penugasan anggota polis termasuk membuat pemantauan di pasar raya dan pasar awam di negeri ini terutama sepanjang musim perayaan agar peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Individu yang dikesan ingkar arahan pihak berkuasa juga akan diberikan saman tanpa sebarang alasan," tegasnya.