Jangan salah guna kebenaran perjalanan Gerak Malaysia!

Kelihatan aliran trafik sesak di Plaza Tol Gombak menghala Karak ekoran sekatan jalan raya ketika tinjauan baru-baru ini. - Foto Bernama
Kelihatan aliran trafik sesak di Plaza Tol Gombak menghala Karak ekoran sekatan jalan raya ketika tinjauan baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar perubatan meminta agar semua pihak tidak menyalahgunakan kebenaran perjalanan Gerak Malaysia untuk tujuan balik kampung berhari raya dan bukannya untuk kes kecemasan.

Presiden I-Medik, Profesor Dr Azmi Md Nor berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan hanya akan berakhir pada 9 Jun depan dan tempoh tersebut bukan sebagai syarat untuk merentas negeri.

Profesor Dr Azmi Md Nor
Profesor Dr Azmi Md Nor

"Ini kerana kita masih tidak dibenarkan bergerak dari negeri ke negeri untuk tujuan balik kampung berhari raya. Malah ada juga negeri melarang pergerakan antara daerah dalam negeri berkenaan.

"Kita tidak ingin melihat Gerak Malaysia disalahgunakan untuk tujuan balik kampung berhari raya dan bukan untuk kes-kes kecemasan sehingga wujud 'kluster balik kampung'," katanya kepada Sinar Harian.

Ketika ditanya mengenai kumpulan diberikan kebenaran merentas negeri menerusi Gerak Malaysia itu disaring sebagai langkah pencegahan mengelak wujud kluster baharu, katanya, ia bergantung kepada keadaan.

Beliau berpandangan, saringan tidak perlu dilakukan sekiranya rakyat Malaysia mematuhi saranan kerajaan yang meminta setiap rakyat untuk kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan atau kecemasan.

"Jadi tidak timbul isu mereka yang dibenarkan merentas negeri perlu disaring dan diperiksa atau tidak apatah lagi kalau saringan itu dilakukan semata-mata untuk tujuan balik kampung untuk berhari raya.

Artikel Berkaitan:

"Nasihat saya 'stay at home', selalu cuci tangan serta jaga kebersihan dan elakkan diri berada di tempat orang-ramai. Ini boleh menghindar risiko daripada dijangkiti Covid-19 seperti disarankan kerajaan," katanya.

Sementara itu, pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad juga tidak bersetuju sekiranya rakyat menyalahgunakan kebenaran merentas negeri untuk tujuan lain selain kecemasan.

Dr Fauziah Mohd Saad
Dr Fauziah Mohd Saad

Beliau berpandangan adalah wajar kumpulan diberikan kebenaran untuk merentas negeri itu menjalani saringan kerana dibimbangi wujud kluster baharu iaitu 'kluster balik kampung' di masa akan datang.

"Kita perlu mengambil perkembangan ini secara bertanggungjawab sebab kesan yang akan berlaku kelak bukan hanya kepada individu atau diri kita sendiri, tetapi kepada komuniti dan orang lain.

"Patuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan, kena bertanggungjawab dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada mereka. Jadi bagi saya wajar saringan itu dilakukan," katanya.