Kedudukan bank Malaysia kukuh

Bank Malaysia berada di kedudukan kukuh berdasarkan kepada NPL serta CET1 yang membandingkan modal bank berbanding asetnya.
Bank Malaysia berada di kedudukan kukuh berdasarkan kepada NPL serta CET1 yang membandingkan modal bank berbanding asetnya.
A
A
A

BANK-BANK Malaysia berkedudukan kukuh untuk mendepani impak daripada krisis pandemik koronavirus (Covid-19) dan menanganinya dengan baik sekali berbanding bank serantau lain, kata S&P Global Ratings.

Ahli Bersekutu, APAC Financial Institutions, Nancy Duan berkata, bank Malaysia berada di kedudukan kukuh berdasarkan kepada pinjaman tidak berbayar (NPL) serta Nisbah Common Equity Tier 1 (CET1) yang membandingkan modal bank berbanding asetnya.

Pada Disember 2019, Nisbah CET-1 bank-bank Malaysia kukuh pada 14 peratus manakala NPL kasar berada pada 1.5 peratus, terendah di rantau ini, katanya.

“Namun, terdapat juga beberapa kelemahan dalam profil serta daripada pendapatan dengan pemampatan margin faedah bersih (NIM) konsisten dalam bank-bank Malaysia pada 5.0 hingga 10 mata asas setiap tahun dalam dekad lepas yang akan menjejaskan keupayaan pengekalan pendapatan bank-bank dalam menghadapi impak Covid-19.

“Margin faedah telah pun merosot negatif berbanding bank serantau lain pada tahun-tahun lepas dan dijangka terus turun tahun ini, memandangkan penurunan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia tahun ini yang dijangka menekankan lagi NIM,” katanya pada webinar bertajuk 'Covid-19: How are Malaysian Banks Placed in A Turbulent 2020?' di Kuala Lumpur kelmarin.

Beliau juga menjelaskan petunjuk ekonomi utama Malaysia menunjukkan risiko menurun di tengah-tengah krisis pandemik dengan kadar pengangguran dijangka menyusut daripada 3.3 peratus pada 2019 kepada 4.3 peratus tahun ini.

“Kadar pengangguran mempunyai kolerasi sangat tinggi dengan trend kualiti aset bank Malaysia.

“Bank-bank Malaysia mempunyai perkadaran tinggi pendedahan isi rumah pada 58.2 peratus daripada pinjaman, oleh itu pemberhentian pekerja secara meluas akan membawa kolerasi tinggi ke atas kualiti bank,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dalam senario kes asas, S&P Ratings tidak menjangkakan sebarang penurunan mendadak kualiti aset bank Malaysia tetapi hanya penurunan perlahan-lahan nisbah kualiti aset bagi tahun ini dan tahun depan kepada kira-kira 3.0 peratus.

Menurutnya, walaupun kos kredit dijangka meningkat kepada hampir 60 mata asas bank-bank Malaysia masih berada di kedudukan yang lebih baik berbanding bank-bank lain di rantau ini. - Bernama