X

Kindly register in order to view this article
!

Sayu lihat rumah terbakar

Nor Zaina bersama adik-adiknya memeriksa kediaman mereka yang musnah dalam kebakaran semalam.
A
A

SUNGAI SIPUT - Rumah yang sepatutnya meriah ketika raya, kini hanya tinggal sisa.

Itu rasa sayu dikongsi lapan beradik apabila kediaman keluarga mereka di Felda Lasah di sini musnah dalam satu kebakaran semalam.

Kejadian sekitar jam 4 petang itu menyebabkan rumah yang didiami sejak lebih 35 tahun lalu musnah keseluruhan.

Kakak sulung, Nor Zaina Zainudin,46, berkata, sejak kematian ibunya pada 2013 lalu, mereka yang telah bekerja dan berumah tangga tinggal di kediaman sendiri.

Nor Zaina Zainudin
Nor Zaina Zainudin

Bagaimanapun katanya, tetap menjadi kelaziman untuk mereka berkumpul di rumah itu pada setiap pagi hari raya pertama sebelum sama-sama menziarahi pusara ibu.

"Ayah ketika ini berada di Melaka dan tidak dapat pulang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila dimaklumkan kejadian ini, dia menangis, sedih mengenangkan rumah yang dibina bersama arwah ibu musnah terbakar.

"Sepatutnya Sabtu ini kami dah janji nak bersihkan rumah sama-sama sempena raya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, rumah itu dijaga adik lelakinya sejak dua tahun lalu dan mujurlah ketika kebakaran berlaku, anak ketiga itu tidak berada di rumah.

"Walaupun sedih melihat keadaan rumah yang menyimpan seribu kenangan bersama, kami tetap bersyukur kerana tidak melibatkan kemalangan jiwa," katanya.

Anggota forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Anggota forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Mangsa, Shahrul Azmi, 43, berkata, jiran sempat menyelamatkan dua motosikal miliknya yang diletakkan di hadapan rumah.

"Saya ketika itu ada urusan bank di pekan Sungai Siput dan bergegas pulang apabila dimaklumkan kejadian, dalam perjalanan saya sempat hubungi bomba untuk meminta bantuan.

"Apabila sampai di rumah, api telah reda, namun terkejut melihat keadaan rumah, tak ada apa yang tinggal, semua habis terbakar," katanya.

Dia tidak menolak kemungkinan kejadian berlaku disebabkan masalah litar pintas.

"Sejak dua tahun lalu, saya duduk di sini bersama isteri dan empat anak, tetapi cuti sekolah lalu, kami pulang ke rumah mentua di Batu Kurau dan terkandas di sana disebabkan PKP.

"Cuma enam hari lepas saya berkesempatan balik ke rumah ini, niat hati nak kemas apa yang patut sebab hari dah nak raya," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun berkata, pihaknya akan membantu menyegerakan proses permohonan bantuan bina semula di bawah skim Rumah Perakku.

Zolkafly menyerahkan sumbangan kepada Shahrul Azmi.
Zolkafly menyerahkan sumbangan kepada Shahrul Azmi.

"Untuk hari ini, kita sampaikan dahulu sumbangan kotak makanan, sumbangan ehsan RM500 dan RM2,000 dari Tabung Bencana Daerah.

"Semoga bantuan diberikan ini dapat meringankan beban penghuni rumah sementara menantikan bantuan rumah diluluskan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!