Perantau bawa Covid-19 ke Kelantan

Anggota polis dan tentera di sekatan jalan raya bagi mengawal kenderaan yang cuba merentas sempadan negeri tanpa kebenaran. - Foto Bernama
Anggota polis dan tentera di sekatan jalan raya bagi mengawal kenderaan yang cuba merentas sempadan negeri tanpa kebenaran. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU- Satu kes baharu koronavirus (Covid-19) dimaklumkan dicatatkan hari ini di Kuala Krai, selepas 32 hari Kelantan sifar daripada kes berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Hussin memaklumkan perkara tersebut hari ini berkata, beliau difahamkan ibu mengandung dari Kuala Lumpur itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Bagaimanapun beliau berkata, sepatutnya sebarang pengesahan dibuat menerusi Jabatan Kesihatan Kelantan.

"Daripada maklumat yang saya terima apa yang kita takutkan selama ini ialah dari segi rentas sempadan. Mangsa balik ke Kelantan semasa rentas negeri dibenarkan sebelum ini.

“Setakat yang kita tahu hanya dia yang positif. Ahli keluarga negatif dan diarahkan dikuarantin,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di JKR 10 hari ini.

Sejak semalam tular di media sosial berkaitan seorang ibu mengandung dari Kuala Lumpur yang pulang bercuti di Kuala Krai dikatakan positif Covid dan menimbulkan kebimbangan penduduk terutamanya yang pernah singgah di sebuah pasar basah di jajahan tersebut.

Mengulas perkara itu, Dr Izani berkata, pihak hospital juga telah mengesan kontak pesakit berkenaan untuk membuat ujian saringan dan juga tindakan kuarantin.

Artikel Berkaitan:

Dr Izani juga memberitahu, Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan menerusi jawatankuasa terlibat mengadakan perbincangan bersabit perkara tersebut.

“Kemungkinan rentas daerah melibatkan keluar masuk di Kuala Krai akan diperketatkan. Semua ini belum diputuskan dan akan dibincangkan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Perkara yang berlaku kita tidak boleh undur, jadi bagi mereka masih berada di luar negeri lebih baik jangan tinggalkan kawasan dan kekal berada di sana,” katanya.

Difahamkan juga, 11 kontak rapat dengan pesakit sudah menjalani ujian saringan.