Bantu naik taraf paip usang

Mohamed Maliki (dua, kiri), Bukhari (empat, kanan) meninjau kawasan projek bersama ahli MyCorps dan penduduk.
Mohamed Maliki (dua, kiri), Bukhari (empat, kanan) meninjau kawasan projek bersama ahli MyCorps dan penduduk.
A
A
A

SIK - Seramai 700 penduduk dari Kampung Charuk Tenang dan Kampung Batu Seketul menerima manfaat daripada Projek Aqua Ranger bagi menaik taraf paip kampung berkenaan yang telah usang.

Pengarah, Pusat Belia Antarabangsa, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapier berkata, projek usaha sama MyCorps dan penduduk itu mula beroperasi pada 3 Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 Februari.

"Paip sedia ada sudah berusia 38 tahun serta banyak kebocoran. Sistem tadahan air yang asal tidak dapat digunakan lagi.

"Sistem tadahan yang baharu telah dibina penduduk sejurus tadahan air namun ia tidak sistematik dan kerap tersumbat disebabkan daun kering dan pasir," katanya.

Terdahulu, Mohamed Maliki hadir meninjau projek berkenaan bersama ahli MyCorps dan penduduk, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Sik, Datuk Bukhari Abdullah.

Mohamed Maliki berkata, keadaan kian meruncing apabila hujan lebat.

"Paip lama dahulunya dapat menyalurkan air sehingga empat kampung, Kampung Charuk Tenang, Kampung Batu Seketul, Kampung Gulau dan paling jauh Kampung Charuk Senduk.

Artikel Berkaitan:

"Kerosakan serius pada paip utama yang menyalurkan air ke kolah tadahan menyebabkan ia dapat membekalkan air ke sebuah kampung sahaja," katanya.

Projek Aqua Ranjer dari MyCorps
Projek Aqua Ranjer dari MyCorps

Justeru katanya, MyCorps telah menganalisa situasi dan permasalahan tersebut serta mengambil tindakan dengan mengembalikan fungsi tadahan air yang asal dan menaik taraf sistem penapisan.

"Dengan adanya sistem penapisan dan tadahan air yang berbumbung dapat mengurangkan kekerapan paip air tersumbat dan kualiti air jauh lebih baik.

"Paip baharu itu mengambil air dari Sungai Beris yang terletak di Bukit Charuk Tenang," katanya.

Selain projek paip air masyarakat, beliau berkata, MyCorps Sik Kedah turut menjayakan beberapa program bersama penduduk.

"Antaranya Program CoCo iaitu projek membuat arang dari tempurung yang secara tidak langsung dapat membanteras penyakit yang berpunca dari virus tikus dan serangga.

"Kita juga anjurkan projek Wan De Land yang mengajar peserta program pemulihan dalam komuniti (PDK) penanaman di dalam bangunan, Projek You can Du It yang membantu usahawan-usahawan di kawasan Mukim Sok dan lain-lain lagi," katanya.

Sementara itu, penduduk, Muhammad Rusli Mat Zain, 53, berkata, mereka bersyukur apabila MyCorps tampil membantu mendapatkan bekalan air.

"Mereka sanggup naik berkali-kali ke atas bukit untuk memastikan paip ini kembali berfungsi dan sekurang-kurangnya dua kampung menerima manfaat.

"Usaha yang ditunjukkan mengembalikan semula sinar kepada kami," katanya.