Cabaran kerajaan Perikatan Nasional

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

KEDUDUKAN politik Perikatan Nasional (PN) yang didakwa tidak stabil dari segi bilangan kerusi Parlimen bakal menyebabkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini mungkin tidak mampu bertahan lama, dakwa seorang penganalisis politik.

Pengarah Eksekutif yang juga Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, dalam situasi politik semasa, Pakatan Harapan (PH) berhak mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Muhyiddin.

Menurutnya, inisiatif yang dibawa PH itu adalah demi membawa penyelesaian kepada permaslahatan lebih besar membabitkan keperluan kerajaan mendapatkan kelulusan peruntukan perbekalan atau rang undang-undang baharu di Parlimen.

Jelas beliau, meskipun usul undi tidak percaya dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sempat dibawa dalam sidang pembukaan Parlimen kelmarin, pihaknya yakin usul itu lambat-laun pasti akan dibawa.

“Sekiranya usul undi tidak percaya tidak dibawa ke dalam sidang Parlimen, kerajaan sedia ada akan berdepan masalah dalam mendapatkan kelulusan peruntukan perbekalan atau rang undang-undang baharu susulan ahli-ahli Parlimen tidak yakin dengan kestabilan kerajaan itu.

“Melihat jumlah kerusi ahli Parlimen PN hanya 113 yang duduk di kerusi kerajaan pada sidang Parlimen semalam (kelmarin), hanya satu melebihi angka majoriti mudah membentuk kerajaan. Sudah pasti semua pihak melihat gabungan entiti politik itu amat rapuh dan tidak menentu.

“Saya fikir PH wajar mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin kerana pakatan itu sebenarnya lebih berhak menuntut semula mandat diberikan rakyat kepada mereka untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin
Muhyiddin

Mohammad Redzuan berkata, usaha kerajaan PN untuk mengekalkan kerajaan sedia ada juga dilihat amat sukar kerana faktor kedudukan ekonomi negara yang berdepan kemelesetan terbesar dalam sejarah.

Menurutnya, perkara itu diburukkan lagi dengan kekangan Muhyiddin untuk memenuhi kesemua tuntutan ghanimah politik daripada setiap parti yang menyokong PN.

“Saya nampak PN mungkin akan cuba bertahan sehingga bulan Mei tahun hadapan dengan setiap parti dalam entiti politik itu akan cuba menuntut ghanimah masing-masing.

“Namun, saya melihat sukar untuk PN memenuhi semua tuntutan itu dan isu itu dijangka mencetuskan masalah dalaman dan pertelingkahan kepada semua parti,” katanya.Meragukan

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi bersetuju dengan pandangan jumlah 113 kerusi ahli Parlimen PN membuktikan kedudukan kerajaan pakatan itu sebenarnya sangat rapuh dan tidak stabil.

Menurutnya, parti memerintah di Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Kerusi ahli Parlimen pembangkang kini diduduki seramai 107 orang, manakala dua ahli Parlimen duduk di kerusi Bebas.

“Kalau kita lihat, alasan menangguhkan sidang Parlimen selepas sesi titah diraja bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang diberikan sebelum ini, sebenarnya agak meragukan. Rakyat sendiri menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

“Berdasarkan kedudukan terkini jumlah kerusi dimiliki ahli Parlimen PN, maka terbuktilah keengganan kerajaan mengadakan persidangan lebih sehari disebabkan kebimbangan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin akan memberi kesan negatif kepada kerajaan yang baru dibentuk.

“Senario terkini itu membuktikan kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya rapuh, tidak stabil dan mampu runtuh pada bila-bila masa,” katanya.

Awang Azman berkata, senario politik terkini negara turut menunjukkan Muhyiddin memerlukan lebih masa untuk meraih lebih banyak sokongan ahli Parlimen bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan.

Katanya, Muhyiddin dipercayai masih kurang berkeyakinan bahawa kerajaan PN mampu bertahan daripada ancaman usul undi tidak percaya terhadap beliau pada ketika ini, meskipun inisiatif agihan jawatan Kabinet, syarikat berkaitan kerajaan dan pegawai tertinggi kerajaan sudah dilaksanakan kepada parti-parti yang menyokong beliau.

“Sekarang ini apa-apa sahaja boleh berlaku. Pada perkiraan saya, tekanan politik yang mungkin dihadapi kerajaan Perikatan Nasional bakal diperhebatkan oleh parti pembangkang sejurus isu Covid-19 semakin reda,” katanya.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari lalu yang mencetuskan krisis politik tanah air sehingga menyebabkan kerajaan PH hilang kuasa.

Pada 8 Mei lalu, Dewan Rakyat menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin oleh Dr Mahathir untuk dibawa pada Sidang Parlimen ke-14 kelmarin.