Lembaga Pengarah 1MDB berhati-hati catat minit mesyuarat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sentiasa diberi peringatan supaya berhati-hati dalam merekodkan minit ketika mesyuarat lembaga pengarah.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, tindakan itu diambil agar ia tidak memberi kesan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, jika perkara itu tidak dipatuhi, beliau termasuk ahli-ahli lembaga pengarah yang lain perlu berdepan dengan Najib yang bertindak sebagai pemegang saham utama syarikat tersebut.

Shahrol Azral berkata demikian selepas ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib sama ada beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan dokumen bagi pengauditan 1MDB kepada firma audit Ernst dan Young.

Muhammad Shafee: Mengapa firma audit Ernst dan Young tidak menjadi juruaudit 1MDB?

Shahrol Azral: Berlaku perselisihan bagi menilai 1MDB-PSI JV dari segi nilai buku yang akan dimasukkan ke dalam penyata kewangan 1MDB pada 2009 lalu. Ia berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Umum (PAC).

Muhammad Shafee: Adakah ia cadangan anda untuk memendekkan perkhidmatan firma audit itu?

Shahrol Azral: Bukan saya, tetapi saya tidak ingat siapa yang buat cadangan itu. Ada cadangan lain untuk mengganti firma audit itu dengan firma audit lain iaitu KPMG.

Artikel Berkaitan:

Shahrol Azral berkata, beliau tidak menolak ia mungkin berkait dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low.

Najib,67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dikatakan melakukan kesalahan rasuah itu di AmIslamic Bank Berhad Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.