AKSB digesa jelas isu lembaga pengarah dapat bonus raya RM10,000

Wisma Air Kelantan.
Wisma Air Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) diminta mengesahkan kesahihan surat yang tular di laman sosial sejak semalam bertujuan menjelaskan keadaan sebenar.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, jika surat berkenaan sagu hati Hari Raya itu benar, mereka perlu menjelaskan rasionalnya pemberian berkenaan.

"Ia sama ada sagu hati itu sepadan dengan pencapaian dan target AKSB dalam isu pembekalan air bersih di negeri ini," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini tular satu surat yang dikatakan daripada pengurusan AKSB mengenai sagu hati Hari Raya sebanyak RM10,000 kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB.

Dr Rosli Allani dalam kenyataan sama mendakwa kakitangan AKSB hanya diberi imbuhan sebanyak RM200 setiap seorang sahaja.

Melalui kenyataan sama, Dr Rosli turut mendakwa, sebelum ini bekas Menteri Alam Sekitar Dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, kaedah tadbir urus AKSB menjadi faktor utama masalah air di Kelantan tidak selesai sehingga kini.

Ketika Jamuan Adilfitri Kerajaan Madani di Kota Bharu baru- baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui isu air di Kelantan kritikal dan beliau akan membantu menyelesaikannya.