4,008 premis perniagaan diperiksa sepanjang PKP di Johor

Penguat kuasa KPDNHEP sedang melakukan pemeriksaan bagi memastikan bekalan barangan mencukupi.
Penguat kuasa KPDNHEP sedang melakukan pemeriksaan bagi memastikan bekalan barangan mencukupi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 4,008 premis melibatkan 3,486 peruncit, 397 pemborong dan 125 pengilang di negeri ini telah diperiksa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu sehingga semalam.

Exco Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, R Vidyananthan berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi pada musim perayaan.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan oleh 200 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mendapati barangan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur ayam, ayam segar dan sayur-sayuran mendapat permintaan tinggi ketika musim perayaan.

"Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 55 notis dikeluarkan kepada peniaga ayam bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenaikan harga jualan ayam.

"Sekiranya peniaga dengan sengaja atau gagal menunjukkan bukti munasabah bahawa kenaikan harga adalah kerana peningkatan dalam kos, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, bekalan makanan sepanjang musim perayaan mencukupi dan orang ramai tidak perlu khuatir.

Artikel Berkaitan: