Buah tal laku 'keras'

Kamariah menunjukkan buah tal yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat di negeri ini meskipun harga bahan mentah itu meningkat sehingga RM4 sebungkus.
Kamariah menunjukkan buah tal yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat di negeri ini meskipun harga bahan mentah itu meningkat sehingga RM4 sebungkus.
A
A
A

PASIR MAS - Permintaan terhadap buah tal dalam kalangan masyarakat di negeri ini tetap tinggi meskipun harga bahan mentah itu meningkat sehingga RM4 sebungkus ekoran kekurangan stok di pasaran.

Penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) turut memberikan tempias kepada bekalan buah tal apabila bahan mentah yang diimport dari Pattani, Thailand berkurangan di pasaran.

Situasi itu menyebabkan berlaku peningkatan harga dari RM6 kepada RM10 untuk sebungkus.

Sungguhpun begitu, buah tal tetap laku 'keras' di pasaran untuk dijadikan sebagai pembuka selera ketika berbuka puasa untuk dimakan bersama cendol, air bandung dan juadah istimewa ini hanya popular di bulan Ramadan sahaja.

Seorang peniaga dari Kampung Tal Tujuh di sini, Kamariah Shamsuri, 62, berkata, dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan penggemar buah itu walaupun berlaku peningkatan harga.

"Sejak Covid-19 berlaku saya berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan buah tal ditambah pula perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan yang menyebabkan pintu sempadan Malaysia-Thailand terpaksa ditutup buat sementara waktu.

"Tempahan buah tal dibuat seminggu sebelum Ramadan. Bagaimanapun bahan mentah itu sampai pada minggu kedua umat Islam berpuasa," katanya yang sudah 25 tahun berniaga buah tal.

Menurutnya, Ramadan kali ini beliau hanya mampu menjual 40 bungkus sehari sahaja berbanding sebelum ini lebih 150 bungkus disebabkan oleh kekurangan bekalan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun bekalan turun mendadak pada Ramadan kali ini namun beliau lega apabila buah tal masih laris seperti tahun-tahun berikutnya.

"Disebabkan permintaan melebihi penawaran, ada pelanggan sanggup menempah awal kerana bimbang tidak dapat menjamah juadah tersebut.

"Buah tal ini unik kerana ia hanya popular sepanjang Ramadan. Lebih menarik buah ini hanya dijual di Kampung Tal Tujoh sahaja," katanya.

Info buah tal

- Di Malaysia buah tal turut dikenali dengan nama kelapa laut Afrika yang merupakan sejenis tanaman terdapat di kawasan Kedah, Kelantan dan Perlis.

- Pokok tal adalah tumbuhan dari keluarga Arecaceae atau sama dengan Palmae yang tumbuh di kawasan panas kering seperti di India, Afrika, Kemboja, Indonesia dan banyak kawasan tropika lain.

- Pokok ini adalah dipercayai berasal atau native di Afrika dan menjadi pokok kebangsaan bagi negara Cambodia.

- Pokok ini juga dikenali sebagai 'Sugar Palm', Palmyra Palm, African Fan Palm, Lontar Palm, Borasus Palm, Doub Palm, Ron Palm, Tala Palm, Tal-palm, Toddy Palm, Wine Palm (English), Taad (Hindi), Tnaot (Khmer), Lontar (Indonesia), Siwalan (Jawa) dan Toon Taan (Thai).