Polis tumpaskan dua kumpulan samun

Baharudin (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Baharudin (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menumpaskan dua kumpulan samun dengan menahan enam individu termasuk seorang wanita warga asing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kumpulan pertama ditumpaskan dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta di Padang Jawa di sini pada Rabu lepas selepas menerima beberapa laporan mengenai kecurian motosikal di lokasi berkenaan semasa tempoh PKP.

“Dalam serbuan sekitar jam 4 petang itu, polis menahan empat lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing dalam sebuah kereta yang sedang parkir di kawasan tersebut. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menjumpai pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal dan pecah rumah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baharudin berkata, hasil soal siasat ke atas suspek menemukan beberapa barangan disyaki dicuri antaranya dua motosikal, dua topi keledar, 10 jam tangan pelbagai jenama, lapan pasang kasut dan satu komputer riba.

Beliau turut percaya, tangkapan itu dapat menyelesaikan sembilan kes samun serta curi motosikal sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dan kesemua suspek berumur antara 20 hingga 33 tahun direman sehingga esok bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379A/457 Kanun Keseksaan.

Baharudin berkata, kumpulan samun kedua pula tumpas apabila tertangkapnya dua lelaki berumur lingkungan 20-an di sebuah rumah di sini 13 Mei lepas dan pelbagai peralatan dirampas antaranya dua bilah pisau dipercayai digunakan untuk menyamun.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu terlibat dalam kira-kira enam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Shah Alam dan Klang Selatan dan mereka kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM30,000 dengan menahan empat lelaki berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Seksyen U12 dan Seksyen 32, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tangkapan pertama pada 9 Mei lepas iaitu dua suspek warga tempatan berumur 27 dan 40 tahun di Seksyen U12 itu menemukan 110 peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM5,500 dalam kenderaan mereka.

“Kenderaan dinaiki suspek diperiksa anggota yang sedang meronda di kawasan tersebut apabila melihat ia diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kira-kira jam 3 petang. Hasilnya, dadah tersebut dijumpai disorokkan dalam satu beg pakaian dalam kereta itu.

“Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki mengedar dadah berkenaan dan mereka telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada Khamis lepas,” katanya.

Bagi tangkapan kedua pula katanya, seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun ditahan di sebuah rumah di Seksyen 32 di sini kira-kira jam 10 malam pada Selasa lepas dan pemeriksaan ke atas suspek serta kediaman itu menemukan 99.1 gram syabu dianggarkan bernilai RM13,000.

Baharudin berkata, semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau serta satu rekod berkaitan dadah dan suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

“Tangkapan ketiga dilakukan pada Jumaat lepas sekitar 1.40 pagi ke atas seorang lelaki berumur 30-an di Jalan Dato Yusuf Shahbudin, Klang. Hasil tangkapan itu, polis merampas empat botol berisi cecair disyaki mengandungi ganja.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke rumahnya di Taman Sentosa, Klang dan menemukan 400 mililiter cecair dipercayai ganja diisi dalam 40 botol. Dia kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952,” katanya. - Bernama