Ruang dan peluang untuk TVET


Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SEJAK bermulanya penyebaran wabak Covid-19 di serata dunia, sesi pembelajaran formal di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) telah dihentikan buat sementara waktu.

Banyak sekolah dan institusi dilihat menghadapi masalah untuk menyambung sesi pembelajaran melalui platform atas talian. Menurut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), sehingga April 2020, 188 buah negara telah mengarahkan sekolah untuk ditutup bagi mengelakkan penyebaran wabak. Ia telah menjejaskan lebih 1.5 bilion anak-anak muda di seluruh dunia. Malaysia juga terpalit dengan masalah ini.

Ketika saya berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan, Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah entiti pendidikan yang paling dekat dengan saya. Apabila kerajaan mengumumkan bantuan insentif kepada pelajar IPT sebanyak RM200/pelajar yang merangkumi pelajar matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS, saya adalah antara individu yang menggesa bantuan sama juga diberikan kepada pelajar institusi TVET.

Sepanjang musim wabak pandemik ini, pelajar jurusan TVET yang paling terkesan. Kemahiran praktikal yang seharusnya diperoleh menerusi pembelajaran secara hands-on melalui pengalaman langsung di tempat kerja tidak dapat dijalankan di rumah.

Sekiranya perancangan yang teliti dibuat oleh Kementerian Pendidikan bersama kementerian lain, pelajar jurusan TVET boleh memainkan peranan besar dalam menyokong transisi kerajaan ke arah normal baharu.

Dalam proses untuk negara kembali pulih, institusi TVET mampu menyediakan sokongan profesional dalam pelbagai sektor negara terutama dalam sektor kesihatan dengan menjalankan latihan sokongan profesional yang singkat dan intensif.

Latihan seperti itu pernah dijalankan pada tahun 2014/2015 di Sierra Leone, Afrika sewaktu pandemik Ebola. National Ebola Training Academy telah ditubuhkan untuk memberi sokongan tenaga bagi menyediakan alatan perubatan seperti PPE dan mesin bantuan pernafasan. Malah, latihan ini didapati telah menyumbang kepada penurunan kes Ebola di Sierra Leone dan memberi nafas kepada institusi TVET di sana.Sokongan

Menurut laporan Bank Dunia, fasa pemulihan Covid-19 mewujudkan peluang untuk membuat pelaburan pintar dalam pendidikan TVET berbentuk pra-perkhidmatan. Selain itu, TVET mampu membantu untuk menjalankan proses reskilling dan upskilling bagi mereka yang tercicir dalam pendidikan atau kehilangan pekerjaan semasa wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pelaburan itu juga bukanlah pelaburan bersifat sementara malahan mampu menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat dan penyesuaian dalam dunia pekerjaan bagi pelajar-pelajar TVET.

Banyak rancangan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi melindungi dan meneruskan agenda TVET negara. Pertama, kerajaan harus mengemaskini sistem sokongan kepada tenaga pengajar dan pelatih untuk beroperasi dalam persekitaran baharu. Beri bantuan untuk pelajar berhubung secara atas talian. Tambah inisiatif untuk menyediakan pek pendidikan berbentuk video.

Kedua, kerajaan harus menjadi medium yang menghubungkan institusi TVET dengan pihak industri. Mereka boleh menyediakan tempat kerja kepada pelajar dan melatih mereka secara terus dan langsung.

Saya percaya kebolehpasaran pelajar TVET masih boleh bertahan sewaktu wabak pandemik ini terjadi. Malah, jika diurus dengan bijak, mungkin inilah peluang besar untuk memantapkan nilai yang ada pada TVET untuk menyokong industri dan ekonomi negara pada hari ini.