X

Kindly register in order to view this article
!

Projek ECRL jajaran semula Kota Bharu-Dungun diluluskan

A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan memberi kelulusan bagi Skim Keretapi untuk Seksyen A projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan di penjajaran semula sepanjang 210.4 kilometer (km) dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu yang akan bermula tidak lama lagi.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek dan aset ECRL berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 14 Mei, 2020, yang menyatakan cadangan penjajaran semula terhadap Skim Keretapi untuk Seksyen A projek ECRL telah diluluskan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong baru-baru ini.

Kelulusan itu termasuklah antaranya laluan penjajaran akhir, lokasi stesen penumpang/kargo, dan jumlah lot di bawah pengambilalihan tanah untuk laluan Kota Bharu-Dungun, katanya.

Selain itu, jajaran sisihan sepanjang 14.4km dijangka menghubungkan laluan utama ECRL di Kelantan dengan pelabuhan Tok Bali.

“ECRL kini akan mempunyai enam stesen di bawah Seksyen A terdiri daripada Kota Bharu dan Pasir Puteh di Kelantan serta Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun di Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MRL berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 2,974 maklum balas daripada responden semasa Pemeriksaan Awam untuk Seksyen A ECRL selama tiga bulan dan sebanyak 98 peratus atau 2,914 responden menyokong penjajaran Kota Bharu-Dungun.

Baki dua peratus atau 60 responden yang membantah kebanyakannya adalah pemilik tanah atau rumah yang hartanahnya perlu diambil alih untuk memberi laluan kepada projek itu, katanya.

Pengerusi MRL, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, kelulusan daripada kerajaan itu akan memberi prospek yang baik dengan jangka masa projek ini untuk memastikan kerja tanah dan kerja-kerja persediaan untuk laluan Kota-Bharu-Dungun akan bermula pada pertengahan 2020.

Beliau berkata, laporan Penilaian Impak Warisan (HIA) ECRL untuk Seksyen A dan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk seksyen tersebut, turut mendapat kelulusan baru-baru ini, manakala laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) Seksyen A menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Projek ECRL sepanjang 640km itu terbahagi kepada tiga seksyen, iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab), dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).

Infrastruktur kereta api itu akan melalui negeri-negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Ismail berkata, kadar siap projek ECRL secara keseluruhan pada masa ini sebanyak 16 peratus, menyatakan kerja-kerja pembinaan tertentu seperti melibatkan terowong dan jejambat telah disambung semula di Seksyen B dalam tempoh beberapa minggu.

Pada pertengahan April lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah meluluskan permohonan daripada kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd untuk beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami melihat impak daripada pandemik Covid-19 (koronavirus) terhadap kemajuan projek ECRL pada tahap minimum berdasarkan kerja-kerja pembinaan yang berjalan lancar," katanya sambil menambah kemajuan projek itu adalah lebih awal daripada jadual semasa PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

MRL adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL akan mengurangkan masa perjalanan dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Putrajaya kira-kira empat jam. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus