Demi anak, segalanya dipertaruhkan

Tiada yang lebih merentap jiwa seorang ibu atau bapa melainkan saat doktor mengesahkan anak kecil mereka menghidap penyakit kronik yang mengancam nyawa. Pada saat itu, dunia seolah-olah berhenti berputar.
Ibu bapa sering kali dihujani dua ujian hebat secara serentak. Pertama, penerangan klinikal perubatan mengenai pembedahan yang perlu disegerakan, risiko yang menanti dan masa yang kian mencemburui mereka.
Ujian kedua pula hadir dalam bentuk rintihan yang paling senyap namun menghimpit hati, berapakah kos rawatannya? Di manakah wang bernilai ribuan ringgit boleh dicari dalam sekelip mata? Mampukah benteng kewangan keluarga yang rapuh bertahan demi menyelamatkan satu nyawa?
Di sebalik dinding-dinding hospital awam negara, dalam titisan air mata yang mengalir di koridor sunyi, ada satu usaha kemanusiaan yang bekerja keras tanpa disedari ramai.
Dana kebajikan hospital, yang sering kali menjadi talian hayat terakhir, menjadi penentu sama ada anak-anak ini mempunyai peluang untuk terus berjuang.
Peranan senyap di sebalik keputusan kritikal

Di Yayasan Institut Jantung Negara (Yayasan IJN), usaha gigih dilakukan setiap hari untuk mengumpul dana dan menguruskan program bantuan kewangan demi membantu pesakit jantung yang kurang berkemampuan dan memerlukan sokongan.
Yayasan ini memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit-pesakit ini, terutamanya kanak-kanak yang menghidap masalah jantung kritikal, dapat menerima rawatan yang sewajarnya di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam dunia kardiologi pediatrik, setiap detik amat berharga kerana kelewatan rawatan walau beberapa hari boleh memberi kesan yang mendalam terhadap peluang mereka untuk pulih.
Pengurus Besar Yayasan IJN, Ritzzawati Rosli Mohd Rosli, berkongsi realiti meruntuh jiwa yang sering dihadapi.
Tegas beliau, sokongan kewangan daripada pihak luar adalah penentu utama bagi memastikan keputusan rawatan dibuat berdasarkan keperluan klinikal pesakit, bukannya bersandarkan keupayaan poket ibu bapa.

Sejak tahun 2018, kolaborasi erat bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) telah menyaksikan geran perubatan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menampung sebahagian kos rawatan dan pembedahan untuk 90 pesakit jantung kanak-kanak di IJN.
"Sokongan dana RMHC amat bermakna dalam mengukuhkan keupayaan Yayasan IJN untuk menyalurkan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan jantung kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan. Dengan adanya bantuan ini, pesakit dapat menjalani rawatan yang dijadualkan di IJN tanpa sebarang penangguhan yang boleh meningkatkan risiko komplikasi serius," kata Ritzzawati.
Tambah beliau, dana itu disalurkan secara bersasar melalui Program Bantuan Pesakit (Patient Assistance Program - PAP) bagi menjamin kesinambungan penjagaan.
Ia memastikan anak-anak ini tidak tercicir daripada janji temu susulan, prosedur kritikal dan bekalan ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa mereka.
Bagi pentadbir Yayasan IJN, setiap borang permohonan bantuan dinilai dengan penuh empati, menimbang tara tahap kecemasan dan latar belakang sosioekonomi keluarga.
Dana kebajikan itu bertindak sebagai jambatan kasih di saat simpanan peribadi mahupun insurans sudah tidak lagi mampu menampung kos.
Akses, jarak dan jurang kemampuan
Isu kemampuan itu menjadi lebih runcing apabila kita beralih ke kawasan luar bandar. Di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kelantan, sebahagian besar pesakit datang daripada keluarga petani, nelayan dan buruh kasar.
Bagi mereka, jarak beratus kilometer (km) untuk ke hospital bukan sekadar isu minyak kereta, tetapi kos kehilangan gaji harian yang menjejaskan periuk nasi.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-kanak Hospital Pakar USM (PEKA ) Sesi 2026-2028, Dr Ahmad Zafrullah Afham Ahmad Fikri mengakui, kehadiran RMHC Malaysia sebagai rakan strategik PEKA telah meringankan bebanan yang selama ini sarat dipikul oleh para perawat dan keluarga pesakit.

"Bantuan ini telah dimanfaatkan dalam beberapa aspek yang sangat kritikal, antaranya pembiayaan peralatan perubatan yang mahal seperti chemoport (untuk rawatan kanser), pigtail catheter, dan VP shunt yang membolehkan rawatan berjalan lancar tanpa terhenti di tengah jalan.
“Ia menampung kos kemasukan hospital berpanjangan bagi bayi pramatang serta membiayai ujian darah genetik khas demi diagnosis yang tepat," kata Dr Ahmad Zafrullah.
Eiyad kini boleh berlari ke sekolah
Di sebalik angka dan statistik, keberkesanan geran ini terpahat utuh pada senyuman adik Mohammad Eiyad Fakhrullah.
Pada tahun 2024, ketika baru berusia enam tahun, dunia kecil Eiyad dipenuhi dengan kelesuan dan pemantauan klinikal yang ketat akibat masalah jantung.
Ibunya, Siti Shafifah mengimbas kembali detik hitam ketika tidak tahu ke mana harus mengadu demi mencari dana rawatan anaknya.

Pengesahan bantuan daripada Geran Perubatan RMHC Malaysia seperti satu keajaiban yang menurunkan ketenangan di tengah-tengah badai.
Rawatan Eiyad berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, membolehkan proses pemulihannya berlaku dengan konsisten.
"Bantuan yang kami terima amat bermakna. Sebagai ibu, melihat anak kembali bernyawa dan menunjukkan perkembangan positif adalah anugerah terbesar. Eiyad tidak lagi terlantar.
“Dia sudah boleh menjalani kehidupan aktif, berlari, bermain dengan rakan sebaya dan yang paling menggembirakan hati kami, dia kini dapat melangkah ke sekolah dengan ceria," kata Siti Shafifah menahan sebak.
Kelegaan emosi seperti inilah yang tidak mampu dinilai dengan wang ringgit, ia memberikan ruang kepada ibu bapa untuk fokus sepenuhnya kepada emosi anak yang sedang bertarung, tanpa perlu dihantui igauan bil hospital yang kian meningkat.
Apabila sistem diperkukuh, kemanusiaan menang
Bagi barisan hadapan hospital, geran perubatan ini bukanlah satu bentuk gantian kepada sistem sedia ada, melainkan satu pemangkin yang mengukuhkannya.
Landskap kesihatan awam memerlukan fleksibiliti kepantasan ini untuk bertindak dalam situasi hidup atau mati.
Pegawai Pembangunan Masyarakat daripada Unit Kerja Sosial Perubatan HPUSM, Muhd Radhi Yaakob menjelaskan, bantuan penempatan, penginapan keluarga dan pembiayaan kes khas seperti pembedahan sumbing sepenuhnya di HPUSM melalui program RMHC Malaysia telah memberikan dimensi baharu dalam rawatan berteraskan kemanusiaan.

"Kemudahan penginapan dan sumbangan peralatan ini amat bermakna dalam meringankan beban emosi keluarga pesakit. Ia menyokong penuh peranan kami di Unit Kerja Sosial Perubatan untuk menyalurkan bantuan kepada golongan sasar dengan pantas dan berperikemanusiaan," ulas beliau.
Di sebalik setiap kejayaan tirai dewan bedah diturunkan, terdapat rangkaian keputusan yang dibuat dalam suasana penuh tekanan.
Namun bagi keluarga yang terlibat, keprihatinan masyarakat melalui Geran Perubatan RMHC Malaysia telah membuktikan satu perkara iaitu mereka tidak pernah berjalan sendirian dalam fasa paling gelap dalam hidup mereka.
Rawatan yang tiba tepat pada waktunya adalah hadiah kehidupan yang paling agung buat anak-anak ini.
Menyelami denyut nadi Geran Perubatan RMHC Malaysia
Untuk memahami bagaimana sebuah geran perubatan mampu mengubah takdir, kita perlu melihat kepada asas penubuhan RMHC Malaysia itu sendiri.
Ditubuhkan pada tahun 1990, RMHC Malaysia telah menyalurkan lebih RM60 juta untuk program-program yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 kanak-kanak dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan. Selama 36 tahun, RMHC Malaysia kekal komited untuk membangunkan, menerokai dan menyokong program yang terus meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan kanak-kanak kurang berkemampuan di Malaysia.

Geran Perubatan RMHC Malaysia bukanlah sekadar dana korporat; ia adalah manifestasi keprihatinan masyarakat awam. Dana ini sebahagian besarnya digerakkan melalui tabung-tabung syiling merah RMHC yang berada di kaunter-kaunter restoran McDonald's, sumbangan digital di kiosk pesanan serta sumbangan dana daripada rakan korporat.
Dilancarkan secara meluas untuk membantu ekosistem hospital kerajaan, geran ini direka khusus bagi memotong birokrasi kewangan yang tegar. Apabila sebuah keluarga yang miskin tegar tidak mampu menyediakan wang pendahuluan atau membeli peralatan perubatan khas dengan segera, Geran Perubatan RMHC Malaysia bertindak sebagai 'pemberi kelulusan pantas'.
Ia memastikan tiada kanak-kanak yang dinafikan hak rawatan atau dikeluarkan daripada wad hanya kerana ibu bapa mereka tidak mempunyai baki wang di bank.
Sejak tahun 2018, RMHC Malaysia secara konsisten telah memperuntukkan geran perubatan terkumpul yang kini mencecah melebihi RM2.4 juta. Melalui komitmen berterusan ini, seramai 639 kanak-kanak di seluruh negara telah berjaya menerima rawatan implan, pembedahan dan alat bantuan yang tidak mungkin mampu dibeli oleh keluarga mereka sendiri.

Pada masa ini, RMHC Malaysia menyalurkan Geran Perubatan kepada enam organisasi kebajikan termasuk Yayasan IJN; Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital USM (PEKA); Tabung Kebajikan Pesakit HPKK UKM; Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah; PPUMCare; dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia HWKKS.
"Setiap ringgit yang disumbangkan membawa makna yang sangat besar kepada masa depan seorang kanak-kanak. Saya menyeru kepada seluruh masyarakat Malaysia, rakan korporat, dan komuniti untuk terus menyokong usaha RMHC Malaysia.
“Setiap sumbangan kecil anda adalah titisan kasih yang membawa kita lebih dekat kepada visi memastikan tiada anak yang tercicir daripada hak untuk sihat," kata Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
