Warga asing Pasar Borong KL 'pindah' ke lokasi baharu

Tangkap layar video yang dirakam Mohd Zulkifli menunjukkan keadaan di Kompleks Selayang.
Tangkap layar video yang dirakam Mohd Zulkifli menunjukkan keadaan di Kompleks Selayang.
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Warga asing yang diusir dari Pasar Borong Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini didakwa sedang bebas berniaga secara haram di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), selain turut diawasi oleh gengster.

Dakwaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Minoriti (MBC), Mohd Zulkifli Abdul Fattah melalui Facebooknya semalam yang turut memberitahu bahawa kawasan berkenaan dikesan terletak di Kompleks Selayang.

Menurutnya, maklumat berkenaan ialah hasil maklumat ahlinya pada Jumaat lalu sebelum beliau turun sendiri ke lokasi berkenaan sehari kemudian untuk mendapatkan kepastian.

"Saya dapati perkara ini benar, kawasan tersebut terletak di Kompleks Selayang dengan diawasi oleh gengster manakala pintu masuk dijaga oleh pengawal keselamatan yang mengawal kenderaan masuk ke kawasan itu.

"Hanya kenderaan tertentu yang dibenarkan masuk dan jalan masuk pula dipenuhi lori serta beberapa pekerja asing sedang menolak troli dengan muatan sayur," kongsinya di laman sosial.

Penguat kuasa MPS telah mengambil tindakan susulan maklumat tersebar di media sosial.
Penguat kuasa MPS telah mengambil tindakan susulan maklumat tersebar di media sosial.

Bukan itu sahaja, dakwaan tersebut turut disertakan video lokasi perniagaan dan keadaan dalam premis bangunan berdurasi empat minit 16 saat.

Katanya, peniaga tersebut hanya menjual sayur kepada orang yang dikenali termasuk pelanggan yang biasa berurusan semasa di Pasar Borong Kuala Lumpur dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Orang yang tidak dikenali dilihat dengan penuh curiga dan sentiasa diawasi. Jadi, video ini saya rakam secara sembunyi bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas diri saya.

"Saya sampai di sana pada waktu 'off-peak', jadi beberapa peniaga warga asing sahaja yang masih beroperasi, namun meja-meja yang terlipat di sana membuktikan bahawa ada lebih ramai yang berniaga pada waktu pagi," katanya.

Beliau turut melahirkan perasaan kecewa dengan insiden tersebut dan bebas berniaga di sempadan Selangor tanpa tindakan pihak berkuasa.

Antara barangan yang disita pihak penguat kuasa MPS.
Antara barangan yang disita pihak penguat kuasa MPS.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPS, Ahmad Fauzi Ishak berkata, pihaknya turut melaksanakan operasi penjaja warga asing di kawasan berkenaan berdasarkan maklumat diterima.

"Dua sitaan ke atas barangan milik penjaja telah dilakukan di bawah Seksyen 3 Undang-undang Kecil Penjaja termasuk 11 tong ikan pelbagai saiz, 63 kotak sayur dan penimbang serta troli.

"Operasi dilaksanakan jam 9 pagi ini dan ketika serbuan dilakukan pihak berkuasa mendapati tidak banyak peniaga berniaga di kawasan itu seperti didakwa," katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan meneruskan pemantauan di kawasan tersebut bagi memastikan tiada aktiviti perniagaan tanpa kebenaran dijalankan di kawasan terlibat.