Perak anjur Hari Guru dalam YouTube

Zainal Abiddin (tengah) dinobat sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Perak sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak hari ini.
Zainal Abiddin (tengah) dinobat sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Perak sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak mencipta kelainan tersendiri apabila diadakan secara maya menerusi siaran langsung di Facebook dan YouTube Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Kelainan tersebut dicetuskan berikutan penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan malah siaran langsung tersebut mendapat lebih 22,000 tontonan di Facebook.

Majlis sambutan dimulakan dengan ucapan Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali diikuti ucapan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Razman Zakaria.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi rakaman video yang disiarkan secara langsung.

Ahmad Faizal dalam ucapannya memberikan penghargaan kepada semua guru di negeri ini yang begitu komited menjalankan tugas tidak kira ceruk mana mereka ditugaskan.

Katanya, beliau amat tersentuh dan menyanjungi komitmen guru-guru untuk mengekalkan perhubungan dengan anak-anak murid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya memahami betapa semua guru merindui suasana di sekolah masing-masing dalam menyambut Hari Guru. Kita juga sedar bahawa betapa rindunya guru-guru kepada anak murid sejak semua sekolah ditutup berikutan PKP bermula 18 Mac lalu," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Suhaimi menerusi ucapannya turut memberikan penghargaan kepada kerajaan negeri yang banyak membantu menyumbang ke arah pembangunan pendidikan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, satu majlis ringkas turut diadakan bagi menghargai sumbangan guru dan warga pendidik di Perak dengan penyampaian Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Perak dan Anugerah Tokoh Guru di Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Bagi Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Perak diberikan kepada bekas Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak, Zainal Abiddin Osman manakala Anugerah Tokoh Guru pula diberikan kepada bekas Guru Cemerlang Biologi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar, Khatijah Abd Rahman.

Pada majlis sama turut diumumkan 17 nama penerima Anugerah Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) Kreatif dan Inovatif Guru Semasa PKP.

Turut diumumkan adalah tiga nama penerima Anugerah Sumbangan Teknikal PDP Dalam Talian dan tiga penerima Anugerah Guru Inspirasi Semasa PKP.

Anugerah Khas Inisiatif Pendidikan Murid Orang Asli semasa PKP diberikan kepada SMK Bawong yang melaksanakan pelbagai inisiatif memastikan pelajar dapat mengikuti PDP sepanjang tempoh PKP.