Bayi dicampak dari tingkat empat dipindah ke wad biasa

Anbalagan (dua dari kanan) sedang mendapatkan penjelasan daripada doktor yang merawat bayi tersebut di HPP tadi.
Anbalagan (dua dari kanan) sedang mendapatkan penjelasan daripada doktor yang merawat bayi tersebut di HPP tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Bayi perempuan yang dicampak oleh ibunya sendiri dari tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, kira-kira jam 7 pagi, 13 Mei lalu sudah dipindahkan ke wad biasa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, sebelum ini bayi berusia enam hari itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang kerana mengalami beberapa kecederaan.

Bagaimanapun katanya, bayi seberat 3.25 kilogram itu kini beransur pulih dan stabil.

"Pada jam 2 petang tadi saya melawat bayi tersebut dan doktor telah memindahkannya dari wad ICU ke wad biasa susulan keadaannya beransur pulih dan stabil.

"Dia dipindahkan ke wad neonatal HPP dan masih dalam pemantauan doktor," katanya ketika dihubungi tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Bayi malang cedera di bahagian otak, tempurung kepala retak

Dalam kejadian 13 Mei lalu, seorang remaja didakwa telah mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkan dari tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, kira-kira jam 7 pagi.

Remaja berusia 18 tahun itu bertindak sedemikian berikutan panik selepas dikatakan melahirkan bayi di dalam tandas rumahnya tanpa pengetahuan ahli keluarga.

Bayi malang tersebut kemudian ditemui oleh salah seorang penduduk di perumahan berkenaan yang terdengar bunyi kuat seperti barang jatuh ke atas atap rumahnya.

Artikel Berkaitan:

Akibat daripada itu, bayi perempuan tersebut dikesan mengalami kecederaan di bahagian otak, tempurung kepalanya retak dan kecederaan pada hati disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

Ibu bayi tersebut yang juga suspek utama bersama teman lelakinya berusia 18 tahun kini direman untuk siasatan lanjut.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Teman lelaki suspek campak bayi dari tingkat empat ditahan