Pemandu e-hailing Pulau Pinang terima insentif khas RM600

Insentif berkenaan disediakan khusus kepada pemandu yang memenuhi syarat kelayakan. - Gambar hiasan
Insentif berkenaan disediakan khusus kepada pemandu yang memenuhi syarat kelayakan. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN – Pemandu e-hailing di Pulau Pinang bakal menerima insentif khas sebanyak RM600 secara sekali bayar pada 2027 sebagai pengiktirafan terhadap kebajikan golongan yang berkhidmat dalam sektor pengangkutan awam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, insentif berkenaan disediakan khusus kepada pemandu yang memenuhi syarat kelayakan dengan had peruntukan sebanyak RM9 juta.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.2 juta bagi membantu pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah pada tahun sama.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan program Mempelai Emas sebagai peluasan kepada program i-Sejahtera bagi menghargai pasangan yang baru mendirikan rumah tangga di Pulau Pinang.

Katanya, pasangan yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima sumbangan sekali bayar sebanyak RM500.

“Kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM57.8 juta menerusi pelaksanaan fasa pertama dan kedua program i-Sejahtera setakat 30 September lalu.

“Program ini memberi manfaat kepada 299,504 penerima, khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan suri rumah,” katanya.

Kon Yeow berkata, penambahan program Mempelai Emas turut dimasukkan dalam peruntukan tahunan sebanyak RM58 juta bagi pelaksanaan program i-Sejahtera pada 2027.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menambah, kerajaan negeri sedang meneliti perubahan struktur masyarakat serta keperluan perumahan semasa termasuk peningkatan keperluan kediaman bagi golongan bujang dan warga emas yang tinggal bersendirian.

Sehubungan itu, katanya, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) akan meneroka konsep kediaman bersama atau co-living bagi unit rumah sewa kerajaan negeri dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang bersesuaian pada 2027.

Dalam pada itu, kerajaan negeri buat julung kalinya akan memperkenalkan Dana Pembangunan Sosial Negeri Pulau Pinang pada 2027 dengan peruntukan sebanyak RM350,000.

Kon Yeow berkata, dana berkenaan bertujuan menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan sosial khususnya bagi membantu golongan memerlukan, menangani kemiskinan serta ketidaksamaan sosial.

Menurutnya, dana itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kumpulan rentan supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!