X

Kindly register in order to view this article
!

Teman lelaki suspek campak bayi dari tingkat empat ditahan

Laporan Sinar Harian 13 Mei lalu. (Gambar kecil: A Anbalagan)
A
A

BAYAN BARU - Seorang remaja lelaki yang mengaku kekasih kepada suspek membuang bayi dari tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5 di sini Rabu lalu ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki berusia 18 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan pada jam 8.40 malam tadi selepas menyerah diri di Balai Polis Bayan Baru bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, soal siasat awal mendapati suspek yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak itu mengaku kekasih kepada remaja perempuan yang membuang bayi malang tersebut.

"Suspek tinggal di Bayan Lepas dan bekerja sebagai pembantu kedai. Dia masih bujang dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, selain ujian saringan air kencingnya juga negatif.

"Soal siasat lanjut akan dijalankan bagi membantu siasatan selepas permohonan reman diperoleh. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Bayi perempuan ditemui oleh salah seorang penduduk selepas dipercayai dicampak dari tingkat empat sebuah flat oleh ibunya.
Bayi perempuan ditemui oleh salah seorang penduduk selepas dipercayai dicampak dari tingkat empat sebuah flat oleh ibunya.

Dalam kejadian Rabu lalu, seorang remaja didakwa mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru kira-kira jam 7 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tergamaknya campak bayi sendiri dari tingkat empat!

Remaja berusia 18 tahun itu dikatakan melahirkan bayi di dalam tandas rumahnya tanpa pengetahuan ahli keluarga dan disebabkan panik dia mengambil keputusan mencampak bayi yang diletakkan dalam beg melalui balkoni.

Bayi malang tersebut ditemui oleh salah seorang penduduk di perumahan berkenaan selepas terdengar bunyi dentuman kuat seperti barang jatuh atas atap rumahnya di tingkat atas.

Akibat daripada itu, bayi perempuan itu dikesan mengalami kecederaan di bahagian otak, selain tempurung kepalanya retak disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

Selain luka pada bahagian kepala, kecederaan turut dikesan pada hati bayi berkenaan.

Bagaimanapun, bayi itu yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang manakala ibunya yang juga suspek utama dalam kes berkenaan masih mendapatkan rawatan di hospital sama dan dilaporkan stabil.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!