Bayi perempuan ditemui di lantai kedai jual ayam

Mohd Yusrizal menunjukkan lokasi bayi yang dijumpai di kedainya. Gambar kecil: Mohd Yusrizal
Mohd Yusrizal menunjukkan lokasi bayi yang dijumpai di kedainya. Gambar kecil: Mohd Yusrizal
A
A
A

KEMAMAN - Seorang penjual ayam terkejut menemui seorang bayi perempuan masih bertali pusat di kedainya di Kampung Bukit Jabor Chukai, dekat sini, pada Khamis.

Mohd Yusrizal Azlan, 27, berkata, bayi cukup sifat itu diletakkan di tepi dinding kedai dalam keadaan kesejukan selain dihurung semut.

"Saya bersama rakan terkejut jumpa bayi pada jam 7.50 pagi ketika datang nak buka kedai. Semasa itu nampak bayi diletak atas bantal dan kain tapi tak berselimut.

"Bayi itu tak menangis ketika kami masuk. Alhamdulillah, bayi itu masih hidup.

"Mujurlah tak ada haiwan lain seperti biawak tetapi kasihan sebab bayi itu sudah dihurung semut. Keadaan bayi dalam keadaan sihat dan cukup sifat," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Mohd Yusrizal berkata, dia terus melaporkan penemuan bayi tersebut kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, bayi berkenaan sempurna dan dianggarkan berusia antara tiga hingga ke empat hari berdasarkan keadaan tali pusat.

Menurutnya, bayi tersebut dihantar ke Hospital Kemaman oleh anggota polis untuk rawatan dan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, pihaknya telah menghubungi klinik selain membuat pemeriksaan di klinik swasta untuk mengesan individu yang terlibat.

"Kita telah mengarahkan semua klinik swasta untuk memaklumkan kepada polis atau pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berkaitan pesakit wanita yang baru bersalin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," jelas beliau.