Bayi perempuan 22 bulan positif dadah

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 22 bulan disyaki positif dadah ketika menerima rawatan di Hospital Taiping, di sini pada Selasa. - Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 22 bulan disyaki positif dadah ketika menerima rawatan di Hospital Taiping, di sini pada Selasa. - Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - [DIKEMASKINI] Seorang bayi perempuan berusia 22 bulan disyaki positif dadah ketika menerima rawatan di Hospital Taiping, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, satu laporan diterima daripada pihak hospital apabila mangsa didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Mangsa dikatakan dihantar ke rumah nenek di Changkat Jering kerana ibunya mahu membeli barang keperluan di kedai runcit berhampiran.

"Ketika mahu tidur, mangsa menangis dan menunjukkan tingkah laku yang tidak terkawal menyebabkan ibunya membawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, tindakan susulan diambil dengan melakukan tangkapan ke atas ibu mangsa yang berusia 22 tahun.

"Ujian saringan awal mendapati suri rumah itu turut positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod lampau dalam kes dadah.

"Permohonan reman akan dibuat. Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan," katanya.

Razlam berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.