Pengurusan kes gubah wang haram Rosmah 30 Julai

Rosmah Mansor - Foto Bernama
Rosmah Mansor - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang sepatutnya bermula Mei ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada kes rasuah projek solar yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau berpandangan bahawa mahkamah perlu memberikan keutamaan kepada perbicaraan kes berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak terlebih dahulu sehingga selesai.

“Tarikh perbicaraan sebelum ini pada bulan Mei tidak dapat dilangsungkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19 manakala tarikh seterusnya bermula 6 Julai ini.

"Paling baik ialah selesaikan kes solar itu dahulu dan tarikh-tarikh bicara (kes pengubahan wang haram) dilapangkan,” katanya semasa pengurusan kes itu hari ini dan menetapkan 30 Julai untuk pengurusan kes seterusnya bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 12 sehingga 14 Mei ; 6 hingga 9 Julai ; 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 24 Julai untuk perbicaraan kes isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn manakala peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Rosmah,69, yang dikecualikan hadir ke mahkamah hari ini.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Isteri bekas Perdana Menteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. - Bernama