Pengecualian LKM dan LMM sepanjang PKPB

Shaharuddin (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat JPJ Selangor, hari ini.
Shaharuddin (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat JPJ Selangor, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang tamat tempoh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, orang ramai masih boleh memandu kenderaan walaupun LKM atau LMM tamat tempoh namun mereka perlu membawa bersama nota perlindungan insurans yang masih sah dan berkuat kuasa.

Beliau berkata, pengecualian berkenaan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai tidak perlu terburu-buru untuk datang ke pejabat JPJ bagi memperbaharui LKM atau LMM yang tamat dalam tempoh PKPB ini," katanya selepas memantau operasi hari pertama di Ibu Pejabat JPJ Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, sejak 18 Mac hingga 30 April lalu, sejumlah 1.85 juta LKM dan 981,883 LMM dikenal pasti tamat tempoh tetapi semakin berkurangan selepas pembukaan kaunter bagi beberapa urusan secara berperingkat.

"Bagi pembukaan operasi JPJ bermula hari ni, kita sasarkan kutipan hasil sebanyak RM5 juta di seluruh negara dan sekitar RM1.6 juta bagi negeri Selangor," katanya.

Tambah Shaharuddin, pihaknya turut memfokuskan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sepanjang PKPB seperti memandu melebihi had laju, membawa lebih muatan dan kesalahan utama yang lain.

Artikel Berkaitan: