Tambah bot peronda jaga perairan PD

Aminuddin bersalaman dengan tetamu yang hadir.
Aminuddin bersalaman dengan tetamu yang hadir.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan diminta menambah bot peronda bagi membantu pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) mengawal pencerobohan khususnya di perairan Port Dickson.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan isu pencerobohan laut yang berlaku di perairan ini memandangkan punca rezeki nelayan terletak kepada hasil tangkapan di laut.

“Kita sedia maklum bahawa Maritim di kawasan laut sememangnya kekurangan kemudahan termasuklah kekurangan bot-bot untuk mereka menjalankan operasi dengan lebih aktif.

“Jadi, saya memohon pihak keselamatan ataupun Kerajaan Persekutuan menambah bilangan bot peronda kepada pasukan maritim bagi mempergiatkan lagi rondaan untuk membanteras masalah di perairan Port Dickson ini dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Back To School TNB dan Penyerahan Kunci Rumah Baiti Jannati di Kompleks Daerah Port Dickson di sini, semalam.

Aminuddin berkata, kawalan Maritim di kawasan perairan ini perlu dipertingkatkan lagi dengan menempatkan lebih ramai anggota di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan penceroboh asing, bagi membanteras sempadan perairan negara dibolosi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, nelayan di perairan Port Dickson sering berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk kerugian hasil tangkapan laut disebabkan pencerobohan oleh nelayan asing.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan berikutan melanjutkan operasi di UTC Ampangan sehingga jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, UTC Ampangan merupakan antara UTC yang sibuk dan sentiasa mempunyai ramai pelanggan.

“Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak kementerian, mereka dapati UTC Ampangan adalah antara yang tersibuk dan mempunyai ramai pelanggan yang turut datang dari negeri jiran kerana mempunyai tempat yang luas dan selesa,” katanya.