DBKL terus pantau Pasar Borong Kuala Lumpur

Pasar Borong Kuala Lumpur. - Foto sumber internet
Pasar Borong Kuala Lumpur. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan pemantauan dan kawalan di Pasar Borong Kuala Lumpur di pintu masuk dan keluar untuk menghalang kemasukan warga asing tanpa permit kerja sah.

Unit Media DBKL menerusi akaun rasminya memaklumkan rondaan di sekeliling kawasan tembok pasar juga dilaksanakan bagi memastikan tiada warga asing yang menggunakan tembok sebagai laluan pintas.

"Tindakan untuk meneruskan pemantauan dan kawalan di pasar borong berkenaan adalah untuk memastikan tiada warga asing tanpa permit kerja sah yang terlepas masuk," katanya.

Terdahulu, pada 6 Mei lalu, DBKL memaklumkan akan mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam industri perniagaan khususnya sektor penjajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjaja di KL wajib gaji pekerja tempatan!

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan berkata, dalam perancangan aktiviti perdagangan dan perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, DBKL menghadapi kebanjiran peniaga warga asing khususnya di sektor tred, perniagaan dan industri serta penjajaan.

"DBKL akan menjalankan tindakan penguatkuasaan yang turut membabitkan agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kebanjiran peniaga warga asing secara langsung memberi impak tidak baik kepada peniaga tempatan serta mencemarkan imej bandar raya Kuala Lumpur," katanya.

Artikel Berkaitan: